Takiyuddin Hassan. Foto MOHD ADZLAN, 06 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Pas bersolidariti dengan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim berhubung isu keselamatan dan perlindungan diri daripada perbuatan jenayah yang bertentangan dengan undang-undang.

Pas membuat kenyataan berkenaan berikutan ugutan yang diterima oleh Ahli Parlimen berkenaan dalam bentuk nota dan dua butir peluru.

Setiausaha Agung parti itu, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, wakil rakyat itu berhak mendapatkan perlindungan sebaiknya bagi memastikan keselamatannya sentiasa terjamin.

“Teresa berhak mendapat semua perlindungan yang disediakan di bawah undang-undang negara, selain berhak menjalani kehidupan, baik sebagai individu mahu pun ahli politik, dengan aman dan bebas daripada ketakutan atau ancaman,” katanya.

Jelasnya, siasatan dan pendakwaan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab membuat ugutan menjadi keutamaan memandangkan insiden berunsurkan keganasan telah beberapa kali berlaku sejak kebelakangan ini.

Menurut beliau, tanpa tindakan segera rakyat akan bimbang terhadap jaminan keselamatan dalam negara ini.

“Pas juga mengambil maklum bahawa pihak polis sudah pun memulakan siasatan kes di bawah Seksyen 507, Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah melalui kaedah perhubungan sembunyi nama dan berharap ia dapat disegerakan kerana perbuatan jenayah seperti ini tidak boleh diterima sama sekali dalam masyarakat kita.

“Ketiadaan tindakan yang segera, tegas dan profesional, terutamanya daripada pihak berwajib, boleh menyuburkan kecenderungan negatif dalam masyarakat dan ini akan mencetuskan rasa tidak selamat, malah panik dalam kalangan orang awam,” katanya.

Dalam pada itu, Takiyuddin menyeru semua pihak mematuhi undang-undang selain menolak perbuatan atau kecenderungan yang boleh menggugat kesejahteraan dan keselamatan individu tanpa mengira warna kulit, kepercayaan, pegangan politik.

“Pas, selain pihak berwajib, anggota masyarakat mempunyai peranan yang sangat penting bagi memastikan keamanan dan ketertiban sosial dalam negara sentiasa terjamin serta dinikmati oleh semua pihak dan golongan,” tambah beliau.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan, menerima aduan mengenai kes ugutan tersebut pada jam 9 malam.

Sebagai rekod, Teresa menerusi Facebooknya menyuarakan kebimbangannya selepas menerima sampul yang mengandungi benda keras itu diambilnya dalam peti surat sebaik sahaja pulang ke rumah kelmarin. – MalaysiaGazette