KUALA LUMPUR – Perdagangan Malaysia mengekalkan prestasi kukuh dan trend peningkatan pada April 2024 dengan merekodkan pertumbuhan dua digit 12.1 peratus kepada RM221.74 bilion berbanding April 2023.
Ini merupakan pertumbuhan tahun ke tahun yang keempat bulan berturut-turut.
Sejajar dengan pemulihan perdagangan global, eksport pada April 2024 meningkat 9.1 peratus tahun ke tahun kepada RM114.72 bilion setelah mencatatkan penyusutan dua bulan berturut-turut, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
“Pertumbuhan ini disumbangkan oleh kenaikan eksport jentera, kelengkapan dan peralatan, kimia dan bahan kimia, petroleum mentah, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta barangan besi dan keluli,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dari segi pasaran, eksport ke Asean, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) merekodkan pertumbuhan dua digit manakala eksport ke Republik Rakyat China (China) pulih daripada pertumbuhan negatif yang direkodkan pada bulan sebelumnya. Ini menggambarkan pemulihan ekonomi sedang berlaku di pasaran eksport utama Malaysia.
MITI berkata import pada April 2024 meningkat 15.6 peratus tahun ke tahun kepada RM107.02 bilion, disumbangkan oleh import yang kukuh bagi barangan pengantara yang digunakan terutamanya dalam aktiviti pembuatan barangan untuk dieksport.
Bagi bulan yang ke-48 berturut-turut sejak Mei 2020, Malaysia telah mencatatkan lebihan dagangan sebanyak sebanyak RM7.7 bilion.
Kementerian itu berkata, empat bulan pertama tahun 2024 mencatat nilai tertinggi yang pernah direkodkan untuk tempoh tersebut bagi perdagangan, eksport, dan import dengan perdagangan meningkat 8.3 peratus kepada RM912.27 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023.
Eksport meningkat 3.8 peratus kepada RM477.05 bilion dan import naik 13.7 peratus kepada RM435.22 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM41.83 bilion.
Sementara itu, bagi perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan pada April 2024 masing-masing lebih rendah sebanyak 9.3 peratus, 10.8 peratus, 7.6 peratus dan 39.4 peratus berbanding pada Mac 2024.
“Pengurangan ini disebabkan oleh penurunan dalam perdagangan dengan rakan dagang utama iaitu Taiwan, Asean, India, Jepun dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Dari segi barangan, perdagangan yang lebih rendah direkodkan bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum dan gas asli cecair (LNG),” tambahnya.
Di samping itu, MITI berkata eksport Malaysia ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) pada April 2024 meningkat 4.4 peratus tahun ke tahun kepada RM78.03 bilion.
Di antara rakan dagang FTA yang mencatatkan peningkatan eksport adalah Hong Kong, Mexico dan Kanada, disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E. – BERNAMA