GEORGE TOWN – Kes saman antara Presiden Kehormat Seumur Hidup Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang (PCCC), Tan Sri Tan Kok Ping dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow akan diteruskan dengan perbicaraan selepas kedua-dua pihak gagal menyelesaikannya secara baik melalui proses mediasi di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Mediasi bermula jam 10.25 pagi dan berakhir kira-kira 11.05 pagi tadi diadakan sebagai usaha menyelesaikan saman fitnah berhubung kenyataan media Kon Yeow menerusi akhbar Cina pada 2 dan 6 Disember tahun lalu berkenaan perletakan jawatan Kok Ping selaku pemegang amanah di Rumah Orang Tua Silver Jubilee.
Peguam yang mewakili Kon Yeow, Cheah Eng Soon berkata, tiada sebarang penyelesaian dicapai oleh kedua-dua pihak melalui proses mediasi tersebut.
“Kes itu akan diteruskan dengan perbicaraan selama tiga hari bermula 26 hingga 28 Ogos ini di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Quay Chew Soon.
“Itu sahaja yang saya boleh katakan. Kita tidak boleh beritahu butiran perbincangan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar kamar mahkamah.
Sementara itu, Kok Ping secara ringkas memaklumkan, pihaknya memilih perbicaraan di mahkamah kerana yakin kebenaran dapat dibuktikan.
“Proses mediasi hari ini gagal dan kita akan meneruskan perbicaraan seperti ditetapkan mahkamah,” katanya.