KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mendedahkan jumlah 5,000 Pegawai Kesihatan Persekitaran (PKP) dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) tidak mencukupi bagi menguatkuasakan larangan merokok di premis makanan.
Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat menyarankan agar jumlah anggota itu ditambah bagi memastikan penguat kuasa larangan merokok di premis makanan berjaya tercapai.
“Pada masa ini seramai 5,000 lebih jawatan PPKP/PKP wujud di Kementerian Kesihatan (KKM). Namun jumlah ini tidak mampu untuk menguatkuasakan sepenuhnya kawasan larangan merokok.
“Kerana PPKP/PKP turut dibebani dengan tugas-tugas lain seperti kawalan penyakit berjangkit, kawalan vektor, pemantauan kualiti dan keselamatan makanan dan berbagai lagi aktiviti kesihatan Awam.
“Sekiranya kerajaan ingin melihat kejayaan penguatkuasaan ini, maka pewujudan jawatan khas dan penambahan jawatan PPKP/PKP amat diperlukan bagi menjayakan aktiviti penguatkuasaan larangan merokok terutama di premis makanan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas laporan Kajian Global Adult Tobacco Survey (GATS) 2023 mendedahkan hampir 80 peratus responden yang disoal selidik di Malaysia menyatakan telah mendapat pendedahan asap rokok melalui premis makanan dan restoran.
Dapatan itu mengejutkan kerana menurutnya, premis makanan dan restoran sewajarnya menyediakan persekitaran yang selamat dan bebas daripada asap rokok kerana lokasi itu menjadi kunjungan termasuk kanak-kanak.
Ketua Pengarah Kesihatan pula mendedahkan, bagi bulan April 2024 di bawah Penguatkuasaan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 sejumlah 7195 notis kesalahan telah dikeluarkan dengan nilai denda berjumlah RM1,015.950.00.
Justeru Adnan mencadangkan, KKM mewujudkan pasukan khas penguatkuasaan merokok di premis makanan yang terdiri dari PPKP dan PKP agar dapat memantau sepenuhnya premis makanan.
Beliau turut memohon KKM memastikan jawatan kontrak bagi PPKP, PKP diserap ke jawatan tetap agar mereka akan terus berkhidmat.
Ini terutama bagi memastikan kejayaan di dalam aktiviti kawalan dan pencegahan penyakit berjangkit dan penguatkuasaan undang-undang kesihatan awam dapat di pertingkatkan bagi kesejahteraan dan kesihatan rakyat terjamin.- MalaysiaGazette