PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) komited meneruskan jalinan kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya hingga Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama di antara Kerajaan Perpaduan perlu diterjemahkan dalam pilihan raya negeri berkenaan.
Dalam masa yang sama katanya, UMNO bersedia bekerjasama dengan parti-parti yang kuat di negeri di bawah bayu itu demi menubuhkan kerajaan.
“Kita pernah bersama-sama dengan rakan-rakan kerajaan yang lalu tetapi kita telah teepinggir sekarang ini. Namun keterpinggiran itu tidak menjadikan UMNO tidak relevan di Sabah malah ini telah memberikan cabaran memperkuatkan UMNO di Sabah dan kita sedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang kuat bagi membantu kerajaan yang kuat di Sabah.
“Yang penting BN harus memperkukuhkan jalinan kerjasama dengan PH itu adalah teras utama terutama dalam pembentukan kerajaan di Putrajaya dan di Sabah juga mungkin suasana politik itu akan dapat diterjemah,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada Majlis Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Apresiasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Menurut beliau, BN Sabah membuka ruang kerjasama di antara parti-parti yang mempunyai perjuangan yang sama.
“UMNO dan BN sangat dinamik untuk kita bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik yang sealiran pegangan politik bagi kita membentuk kerajaan di Sabah atau menjadi sebahagian kerajaan.
“Perbincangan diadakan beberapa kali sama ada di Kota Kinabalu atau di Kuala Lumpur kita juga adakan bengkel insya-Allah kita akan umumkan keputusan yang terbaik apabila DUN Sabah diumumkan,” jelasnya.
Baru-baru ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, parti itu perlu mengambil pendekatan untuk bergabung dengan parti lain menjelang PRN tidak lama lagi.
Beliau berpendapat tiada parti di Sabah yang mampu bergerak secara solo pada PRN akan datang berdasarkan landskap politik semasa.
Bagaimanapun, Bung Moktar berkata, gagasan atau gabungan baharu antara UMNO dan parti lain akan diperhalusi terlebih dahulu manakala nama serta pembentukan akan dimaklum apabila tiba masa yang sesuai. – MalaysiaGazette