Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi manyampaikan anugerah sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-53 di Dewan Pusat Konvensyen Sultan Ahmad Shah.

KUALA LUMPUR – Bank Simpanan Nasional (BSN) terus menghargai golongan pendidik melalui penajaan 31 kategori anugerah dengan jumlah keseluruhan RM420,000 sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2024.

Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, guru adalah tunjang untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan memastikan setiap pelajar dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk maju dalam dunia yang pesat berkembang.

“Oleh itu, penajaan kami adalah simbol penghargaan kami atas jasa mereka yang tidak ternilai yang merupakan asas kepada masyarakat yang progresif dan berpengetahuan, di mana pendidikan merentasi semua sempadan dan setiap pelajar mempunyai peluang untuk berkembang maju,” katanya dalam kenyataan.

Anugerah terbahagi kepada dua peringkat iaitu peringkat kebangsaan dan peringkat negeri.

Anugerah peringkat kebangsaan merangkumi 29 kategori dan dua anugerah utama iaitu Tokoh Guru Kebangsaan dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan.

BSN juga menaja satu anugerah peringkat negeri dan satu Anugerah Khas Menteri Pendidikan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah menyampaikan anugarah tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang baru-baru ini.

Sambutan peringkat kebangsaan dengan tema Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara MADANI turut dihadiri Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Masariah Mispari telah dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2024. Beliau telah banyak berjasa sepanjang perkhidmatan beliau khususnya dalam bidang pendidikan dalam dan luar negara.

Beliau juga pernah menerima Anugerah Guru Inovatif peringkat Wilayah Persekutuan pada tahun 1995, 2000 dan 2014.

Sementara itu, bagi Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2024 telah dinobatkan kepada Datu Suliaman @ Sulaiman Wak.

Dalam majlis yang sama, BSN turut melancarkan jalinan Kerjasama strategik bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai Rakan DELIMa.

BSN juga merupakan antara bank pertama menyiarkan e-Modul Celik Kewangan Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah melalui DELIMa yang merupakan pelantar pembelajaran digital KPM dan mengupaya semua sekolah menjadi sebahagian ekosistem pembelajaran digital mulai tahun 2019.

Murid, guru dan ibu bapa yang mempunyai ID boleh mengakses pelantar DELIMa bagi mengikuti pembelajaran literasi kewangan yang telah disediakan oleh pihak BSN.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast