KUALA LUMPUR – Seorang ejen insurans mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan rompakan di Bandar Manjalara, Kepong, di sini, pada Mac lalu.
Tertuduh, Mohamad Hasbullah Mustafa Kamal, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Hamidah Mohamed Deril.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merompak dan sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang lelaki berusia 27 tahun, di hadapan sebuah kedai makan di Manjalara pada jam 1 petang, 23 Mac lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, membawa hukuman penjara selama 20 tahun dan denda atau sebatan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Muhairi mencadangkan jaminan dikenakan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh dan syarat tambahan adalah tidak menganggu mangsa.
Peguam yang mewakili tertuduh, Azlin Zulkifli memohon jaminan direndahkan kerana anak guamnya telah direman selama dua minggu.
Selain itu, Mohamad Hasbullah perlu menanggung isteri yang tidak bekerja dan dua orang anak, serta tertuduh tidak menggunakan senjata sewaktu kejadian.
Mahkamah kemudian memutuskan tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM5,000 dan mematuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 25 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Pada 23 Mac lalu, seorang lelaki cedera dan patah kaki selepas terjatuh daripada motosikal dalam kejadian ragut di Jalan 4/62a, Bandar Sri Menjalara.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner, Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, siasatan mendapati ketika kejadian seorang wanita berusia 23 tahun bersama teman lelakinya berjalan di kaki lima kedai, namun diragut seorang penunggang motosikal.
Katanya, teman lelaki mangsa berjaya membonceng motosikal terbabit, namun suspek memecut motosikalnya sehingga mangsa terjatuh dan terhentak di bahagian kepala serta patah kaki kanan. – MalaysiaGazette