Tengku Razaleigh hadir pada majlis perasmian buku Ku Li Memoir 205 berlangsung di sebuah hotel di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Buku Ku Li: Memoir 205 mengangkat kehebatan bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai negarawan negara walaupun veteran UMNO itu tidak berpeluang menjadi perdana menteri.

Penulis buku itu, Datin Zinitulniza Abdul Kadir itu berkata, jasa Tengku Razaleigh atau mesra dengan panggilan Ku Li melangkaui seorang pemimpin yang bergelar perdana menteri namun belum tentu menjadi negarawan.

“Namun masa tidak boleh diundur. Kebimbangan Tunku ternyata benar – biar sebesar mana pun jasa Ku Li kepada negara, Melayu mudah lupa. Dua puluh tahun berkorban usia muda di belakang baris hadapan negara, Ku Li tidak pernah berpeluang membuktikan keupayaan memimpin Malaysia sebagai Perdana Menteri.

“Rakyat sekadar mampu membayangkan. Namun Ku Li pemimpin berjiwa besar. Tidak kira apa nasibnya, beliau negarawan. Sesungguhnya, negarawan tidak perlu menjadi Perdana Menteri, dan ironi, Perdana Menteri belum tentu negarawan,” tulisnya dalam buku itu.

Majlis perasmian Ku Li Memoir 205 disempurna oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam di sebuah hotel, di sini, hari ini dihadiri Tengku Razaleigh.

Datin Zinitulniza Abdul Kadir (kiri) hadir pada majlis perasmian buku Ku Li Memoir 205 berlangsung di sebuah hotel di sini hari ini.

Ku Li: Memoir 205 memperlihatkan sepintas lalu pengalaman usia muda Tengku Razaleigh berjuang untuk negara menerusi UMNO sejak 1962.

“Politik asalnya bukan cita-cita saya, apa lagi mengejar jawatan dan kedudukan. Saya mempunyai rancangan sendiri, tetapi takdir Allah menentukan tiga Perdana Menteri negara – Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein On mencorakkan sebahagian perjalanan hidup saya.

“Setiap yang berlaku telah pun berlaku. Semoga perkongsian daripada buku ini dapat dijadikan iktibar untuk generasi muda merangka masa depan Malaysia yang lebih baik. Benar sejarah tidak boleh diubah.tetapi berhati-hatilah, kerana ia boleh berulang,” katanya Tengku Razaleigh.

Sementara itu Ku Li atau Tengku Razaleigh Tengku Mohd. Hamzah merupakan putera kerabat Kelantan dari jalur keturunan Long Yunus yang memerintah negeri sehingga 1794.

Lahir pada 1937, doktor ialah cita-citanya sejak kecil, namun hala tujunya berubah selepas lapan hari berada di Kolej Melayu Kuala Kangsar.

Pada 1955, ketika perjuangan negara membebaskan diri daripada belenggu penjajah hampir mencapai kemuncak, Ku Li dihantar ayahnya meninggalkan Tanah Melayu ke Belfast di Ireland

Selepas tamat ijazah pertama pada 1958, Ku Li menyambung pengajian undang-undang of London. Namun pada Februari 1962, biar tinggal berbaki hanya satu peperiksaan, beliau terpaksa bergegas pulang. Berlaku peristiwa besar, sekali gus titik tolak yang mengubah serta-merta jalan kehidupan.

Pada usia 25 tahun, Ku Li yang asalnya tidak pernah berhajat menyertai politik, mengalah apabila dipujuk Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj untuk menyelesaikan misi besar menebus maruah UMNO.

Buku Ku Li: Memoir 205.

Sebagai persediaan, beliau dilantik senator dan dihantar mewakili negara ke Persidangan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) ke-17 pada 1962.

Namun takdir untuknya berliku sejak awal. Baru sehari tiba, jawatan senator dibatalkan dan lebih malang, beliau ‘terkandas’ empat bulan da New York dalam keadaan bersabung nyawa.

Menerusi lima belas bab buku ini berkongsi banyak perkara belakang tabir, terutama hal berkait hubungan Ku Li dengan empat tokoh awal pemimpin negara iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn. la memperlihatkan keikhlasan Ku Li berjuang untuk negara, jauh melangkaui keperluan dan kepentingan diri sendiri.

Selain berkhidmat tanpa ganjaran, beliau berterusan menolak pangkat dan jawatan, baik dalam politik, mahupun kerajaan. Ku Li hanya bertanding pilihan raya pada 1969 selepas Tunku Abdul Rahman ‘murka’ dan hampir putus asa memujuknya selepas berkali-kali.

Ku Li hanya bersetuju menyertai Kabinet sebagai menteri pada 1976, menerusi ‘wasiat’ Tun Razak ketika nazak selepas kecewa memujuknya berkali-kali).

Di penghujung, hanya tinggal Hussein yang ‘gagal dua kali Ku Li menolak permintaannya. Pertama pada 1976 apabila diminta mengisi iawatan Timbalan Perdana Menteri, dan kedua pada 1981 apabila didesak menggantikannya sebagai perdana menteri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast