Gambar hiasan

CHUKAI – Mahkamah Majistret Kemaman di sini hari ini membenarkan reman tiga hari terhadap seorang wanita yang disyaki membuang bayi lelakinya berusia seminggu di sebuah kedai menjual ayam di Jabur Kubur, Jalan Air Putih di sini, Sabtu lepas.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin di Hospital Kemaman ke atas suspek berusia 21 tahun yang kini dirawat di wad bersalin hospital berkenaan.

Majistret Sharifah Amirda Shasha juga membenarkan reman untuk tempoh sama terhadap seorang lelaki berusia 24 tahun yang dipercayai kekasih wanita berkenaan.

Kedua-dua suspek ditahan di sekitar Jabur Kubur dan pekan Chukai, di sini antara  11 pagi hingga 3 petang, semalam.

Sabtu lepas, seorang bayi lelaki yang sudah tertanggal tali pusat dijumpai di atas lantai sebuah kedai menjual ayam dengan hanya beralaskan baju dan dalam keadaan menggigil kesejukan oleh seorang pemandu lori ayam kira-kira 7.30 pagi.

Bayi cukup sifat seberat tiga kilogram itu dilahirkan pada 12 Mei lepas di rumah suspek lelaki itu di Jabur Kubur sebelum ditinggalkan di kedai terbabit pada 18 Mei.

Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast