JASIN – Seorang pelajar Politeknik Merlimau, di sini, maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori muatan dedak di Jalan Sempang Kerayong, Lipat Kajang, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, pelajar semester 5 jurusan perdagangan itu, R V Shivwanyaanan, 23, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kereta jenis Proton Wira sedang dalam perjalanan dari arah Jasin menuju ke Merlimau.
“Setibanya di lokasi, kereta mangsa dipercayai terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah lori yang membawa muatan dedak ayam.
“Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan maut di tempat kejadian, manakala pemandu lori, lelaki berusia 29 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, mayat dibawa ke Hospital Jasin untuk proses bedah siasat.
Hasil ujian saringan air kencing ke atas pemandu lori juga mendapati negatif barang terlarang, ujarnya
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette