Penjaga parkir didakwa di Mahkamah Majistret Pulau Pinang hari ini atas tuduhan menghalang anggota polis menjalankan tugas di Balai Polis Dato Keramat pada Ahad lalu.

GEORGE TOWN – Penjaga parkir yang dikaitkan dengan cubaan merampas submesingan dalam milikan anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menghalang anggota menjalankan tugas sentri di Balai Polis Dato Keramat pada Ahad lalu

Tertuduh, Supramaniam, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dihadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.

Mengikut pertuduhan, anak sulung daripada tiga beradik itu didakwa dengan sengaja menghalang penjawat awam iaitu seorang lans koperal berusia 25 tahun dalam menjalankan tugasnya sebagai anggota sentri di pekarangan balai berkenaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 19 Mei lalu, pukul 4 pagi di pekarangan Balai Polis Dato Keramat dalam daerah Timur Laut.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M. Darrshini manakala tertuduh diwakili peguam, Ranjit Singh Sandhu.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Ketika prosiding, Darrshini menawarkan jaminan RM10,000 kepada tertuduh dengan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan dua kali sebulan serta tidak boleh menganggu mana-mana saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, Ranjit Singh memohon jaminan RM2,000 diberikan kepada anak guamnya atas alasan dia bekerja sebagai penjaga parkir dengan pendapatan RM1,800 sebulan.

“Saya ingin menarik perhatian Yang Arif bahawa kes ini bukan sama dengan serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor sebaliknya tujuan utama anak guam saya ke balai berkenaan untuk mengambil motosikal milik bakal adik iparnya susulan lelaki itu ditahan  atas kesalahan dadah.

“Tiada senjata digunakan dalam kejadian itu menunjukkan dia seorang yang bahaya serta perlu lapor diri di balai polis setiap bulan.

“Selain itu, untuk makluman mahkamah, anak guam saya juga akan membuat laporan polis berhubung kejadian yang berlaku selepas ini,” kata Ranjit Singh.

Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu tidak boleh mendekati atau menganggu mana-mana saksi pendakwaan.

Kes akan disebut semula pada 20 Jun depan. 

ARTIKEL BERKAITAN:

Polis tahan lelaki mabuk cuba rampas submesingun

Suspek cuba rampas submesingan polis direman empat hari

MalaysiaGazette pada Ahad lalu melaporkan seorang lelaki ditahan susulan cuba merampas submesingan jenis HK MP5 dalam milikan anggota polis di pintu pagar Balai Polis Dato Keramat di sini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, lelaki berusia 35 tahun itu direman selama empat hari bermula Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan da Seksyen 506 akta sama.

Suspek yang negatif daripada saringan dadah itu turut disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967.

Difahamkan, suspek ke balai polis tersebut untuk berjumpa dengan rakannya yang dikatakan ditahan atas kesalahan dadah di balai polis berkenaan. – MalaysiaGazette