KUALA LUMPUR – Makhamah Sesyen hari ini menetapkan kes perbicaraan Shalom Avitan,38, yang berdepan dua pertuduhan memiliki ratusan peluru dan memperdagangkan enam pistol, ditangguhkan pada 30 September depan.
Hakim, Norina Zainon Abidin menetapkan tarikh perbicaraan ke atas lelaki warga Israel itu berjalan selama sembilan hari bermula 30 September, 1 hingga 3, dan 7 hingga 11 Oktober.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam berkata, pendakwaan akan memanggil kira-kira 20 saksi termasuk penyataan saksi.
Pendakwaan turut memohon kepada mahkamah untuk meminda dua pertuduhan ke atas lelaki warga Israel yang beralamat di Bnei Brak, Israel.
Pertuduhan pindaan membabitkan tambahan jumlah peluru daripada 158 kepada 200 peluru, manakala pertuduhan kedua, pindaan pada nombor siri pistol jenis Glock dan Stoeger Cougar.
Bagaimanapun, tertuduh kekal mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang telah dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Inggeris hari ini.
Mengikut pertuduhan, Shalom didakwa memperdagangkan enam senjata api iaitu jenis Glock 19 USA 9x 10 (Serial Number AEGS 286); Sig Sauer P3205P (Serial Number 58C283463); Cougar 8000FT (Serial Number T6429-10G002496); Glock 17 Gen4 Austria 9×19 (Serial Number: BDZZ090); M&P 9C Smith & Wesson Spring Field MA USA (Serial Number: DSW9077) dan pistol jenis Stoeger Cougar 8000F (Serial Number T6429-08-A029304).
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang daripada enam kali sebatan.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd (150 peluru), dan 42 peluru dalam tiga senjata berasingan.
Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, antara jam 6.46 petang, 26 Mac hingga 6 petang, 28 Mac lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding tersebut, Mohamad Mustafa turut memohon dua pertuduhan itu dibicarakan bersama kerana ia membabitkan tertuduh dan insiden yang sama.
Beliau turut memaklumkan akan menyerahkan sebanyak 17 dokumen berkaitan kes tersebut kepada pembelaan hari ini.
Peguam, Navinjit Singh yang mewakili tertuduh, bagaimanapun tidak membantah perkara tersebut
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 28 Jun untuk pengurusan kes selanjutnya.
Selain Mohamad Mustafa, pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim dan Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim sementara pembelaan turut dihadiri peguam, Jeffrey Ooi. – MalaysiaGazette