M. Kumar

KUALA LUMPUR – Dua penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang direman bagi membantu siasatan kes serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru pada awal pagi Jumaat lalu dibebaskan tanpa syarat semalam.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, pembebasan dua pelajar terbabit adalah selepas mendapat arahan daripada Pejabat Peguam Negara.

“Polis Johor mengesahkan dua pelajar masing-masing berusia 22 dan 21 tahun yang juga penuntut sebuah kolej swasta serta institusi latihan yang ditahan pada 17 Mei lalu untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berhubung serangan di Balai Polis Ulu Tiram sudah dibebaskan.

“Mereka berdua dibebaskan tanpa syarat semalam selepas mendapat arahan daripada Pejabat Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kumar, bagaimanapun siatasan terhadap lima lagi individu yang juga ahli keluarga kepada suspek masih diteruskan memandangkan tempoh reman terhadap mereka akan tamat pada 24 Mei ini.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi, memanipulasi fakta atau komen di media sosial berkenaan insiden itu sehingga boleh menggugat ketenteraman awam dan mengganggu siasatan polis,” ujarya.

Dalam kejadian serangan awal pagi Jumaat lalu, tiga disahkan maut membabitkan dua anggota polis berusia 22 dan 24 tahun serta suspek berumur 21 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan itu cedera.

Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban dalam insiden itu.

Koperal Mohd Hasif Roslan yang dilaporkan parah pula kini stabil dan masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.

Pada Sabtu lalu, media melaporkan tujuh individu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes serangan di Balai Polis Ulu Tiram.

Tujuh individu terbabit termasuk lima ahli keluarga suspek berusia lingkungan 19 hingga 62 tahun yang ditahan sejak Jumaat lalu, berikutan serbuan di kediaman mereka selepas kejadian.

Turut direman ialah dua penuntut IPT yang hadir di balai polis sebelum kejadian, kerana dipercayai mempunyai kaitan dalam kes itu. – MalaysiaGazette