Asri (berdiri empat dari kiri) pada majlis sumbangan bakul makanan di HKL, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Persatuan Dialisis HKL (PDHKL) mengagihkan 60 bakul makanan kepada pesakit dialisis asnaf yang sedang menjalani rawatan sakit buah pinggang, baru-baru ini.

Bakul makanan yang mengandungi barangan bernilai RM100 itu merupakan sumbangan daripada Persatuan Dialisis HKL dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Pengerusi PDHKL, Asri Shahari berkata, program berbentuk kebajikan itu dilihat perlu memandangkan komuniti pesakit dialisis tersebut beragama Islam dan masih memerlukan bantuan.

“Kita berharap dengan adanya bantuan bakul ini sedikit sebanyak dapat membantu menceriakan pesakit dialisis yang memperjuangkan nyawa setiap hari dengan rawatan dialisis,” katanya yang memberitahu program tersebut diadakan di Hospital Kuala Lumpur.

Dr Sunita menyerahkan bakul makanan kepada salah seorang penerima bakul makanan asnaf

Beliau turut berterima kasih kepada MAIWP yang prihatin dengan menyalurkan bantuan untuk menjayakan program tersebut yang julung-julung kali diadakan.

Turut hadir Ketua Jabatan Nefrologi, Dr Sunita Bavanandan, Pakar Perubatan Nefrologi, Dr Mohd Ramadhan dan juga Ketua Penyelia Hemodialisis, Rosli Abd Rahim.

“Matlamat kami adalah untuk meringankan kesusahan para penerima bantuan, memastikan mereka juga dapat berkongsi serta merasai kegembiraan dan kemanisan bulan Syawal,” kata Asri.

Beliau turut berharap agar program itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membantu golongan yang memerlukan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.