Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduan rasuah. Foto AIZAT ZAINAL, 23 MEI 2024
Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan mengambil suapan berjumlah RM350,000 bagi projek bernilai lebih RM380 juta pada akhir tahun 2020.

Tertuduh, Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi.

Beliau yang berkot gelap hadir bersama isterinya mengangguk tanda faham dan berkata dengan nada perlahan, mohon dibicarakan.

Mengikut kertas pendakwaan, Sayed Amir Muzzakkir  yang ketika itu berjawatan Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin didakwa menerima wang rasuah berjumlah RM350,000 daripada Pengarah Urusan Syarikat Nexuscorp Group Sdn Bhd, Wan Azhar Mohamed Yusof.

Ia sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan tender perkhidmatan penyelenggaraan serta pembekalan alat ganti untuk peralatan infrastruktur, pelayan, perisian serta radio pengguna sistem RMPNET PDRM berjumlah RM381,112,042.44.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Yayasan Tanah Aku, Solaris Dutamas, di sini, jam 4 petang 4 Disember 2020 dan 3.30 petang 16 Disember tahun sama.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Akta tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Walaupun pada awalnya pendakwaan mahu tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 namun peguam bela, Yunos Shariff memohon supaya anak guamnya diberikan jaminan lebih rendah memandangkan beliau bukan golongan ‘flight risk’ dan sentiasa bekerjasama sepanjang kes disiasat.

Azura kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM60,000 dengan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Kuala Lumpur setiap awal bulan.

“Saya juga mohon tertuduh supaya tidak menganggu mana-mana saksi dalam apa jua cara sekalipun terutamanya saksi utama kes ini,” katanya.

Mahkamah menetapkan 12 Julai depan bagi pengurusan kes. – MalaysiaGazette