Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Matlamat asal penubuhan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam khusus untuk menjaga kepentingan pelajar Bumiputera harus kekal.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, matlamat tersebut tidak wajar diganggu gugat oleh mana-mana pihak.

“Agenda UiTM untuk meningkatkan penyertaaan masyarakat Bumiputera dalam bidang pendidikan tinggi dan profesional adalah sebahagian daripada mercu tanda pendidikan negara dan ia harus dikekalkan keasliannya,” kata Noraini dalam kenyataan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu turut menegaskan, bahawa cubaan pihak tertentu untuk melabelkan pelaksanaan dasar tersebut di UiTM sebagai apartied adalah tidak perlu.

Tambahan katanya, Malaysia mempunyai bilangan pusat pengajian tinggi yang mencukupi dan dibuka sepenuhnya kepada bukan Bumiputera.

“Polemik yang cuba dicetuskan oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab dengan melabelkan UiTM sebagai “akademi aparteid” adalah tidak perlu kerana Malaysia mempunyai jumlah institusi pengajian tinggi yang mencukupi untuk semua kaum.

“Jumlah institusi pengajian tinggi awam dan institusi pengajian tinggi swasta di negara ini mampu menampung pelajar daripada semua kaum termasuk bukan Bumiputera.

“Justeru, Wanita UMNO Malaysia meminta seluruh rakyat Malaysia menggunakan hak kebebasan bersuara secara bertanggungjawab dan berhenti mempersenda perihal agama, bangsa dan keturunan sehingga menjejaskan keharmonian kaum di negara ini,” katanya.

Wartawan veteran Andrew Sia dalam tulisannya ‘Our apartheid academy, UiTM‘ di sebuah portal mengkritik tindakan pelajar UiTM yang memakai baju hitam baru-baru ini yang membantah tindakan untuk membuka kemasukan pelajar bukan Bumiputera.

“Tidak seperti pelajar UiTM yang lebih berfikiran terbuka yang saya temui, penunjuk perasaan ini sebenarnya mengisytiharkan bahawa universiti mereka harus menjadi contoh apartheid yang ketara.

“Saya merasa ironis bahawa Malaysia berjuang menentang apartheid oleh orang kulit putih menentang orang kulit hitam pada tahun 1980-an di Afrika Selatan tetapi masih menyokong akademi apartheid secara de facto di negara sendiri.

“Namun sesetengah bukan Melayu dibenarkan masuk ke UiTM dengan tangan terbuka. Tetapi hanya orang asing bukan Melayu. Ia ada di sana, dalam warna hitam dan putih (sebenarnya ungu dan putih) di laman web,” katanya.

Tambah beliau bagaimanapun kebanyakan orang bukan Melayu mungkin tidak mahu menghantar anak mereka ke UiTM untuk kursus biasa, memandangkan bantahan pelajar yang berunsur perkauman secara terbuka.

Artikel itu turut menyentuh mengenai pelajar lulusan UEC (United Exam Certificate) daripada sekolah persendirian Cina yang tidak diberikan tempat di universiti awam.

“Mengapa kita masih menahan sebilangan rakyat Malaysia atas dasar perkauman semata-mata?

“Bagaimana kita boleh mengaku sebagai bangsa Madani sedangkan kita tidak mengamalkan tiga daripada enam rukunnya, iaitu belas kasihan, hormat-menghormati dan saling mempercayai?” soal beliau. – MalaysiaGazette