Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Selangor.

KUALA LUMPUR – Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Mara (MPP UiTM) memohon maaf secara terbuka berhubung pelaksanaan kempen #MahasiswaUiTMBantah” yang berlangsung pada 14 Mei hingga 16 Mei lalu.

Menerusi kenyataan rasmi, MPP UiTM turut mengakui kenyataan yang dikeluarkan pada 14 Mei lalu sedikit mengelirukan apabila pihak mereka tidak menjelaskan aspek kronologi kes yang sebenar.

Kenyataan itu juga menyebut, MPP UiTM jugak tidak menjelaskan interpretasi perkara 153 dengan sebaiknya menyebabkan timbul salah faham kepada umum.

“Sesungguhnya perkara ini adalah di luar jangkaan kami dan kami menerima perkara ini sebagai satu pengajaran dalam mengolah pemakluman penuh melalui kenyataan yang lebih jelas,” kata MPP UiTM.

Menurut persatuan mahasiswa itu juga, pihaknya mengambil maklum bahawa sangat penting untuk menjaga keharmonian dan kesejahteraan hubungan bersama mahasiswa walaupun melalui medium maya.

MPP UiTM, menurut mereka, mengambil maklum isu 3R (race, religion, royalty) yang sensitif tidak patut ditimbulkan.

Lantaran perkara yang telah berlaku, katanya, keharmonian tersebut telah terganggu kerana kaedah penyampaian yang kurang jelas dan tidak sejajar dengan niat asal pelaksanaan kempen berikutan pemahaman konteks yang tidak sehaluan melalui pembacaan.

“Sehubungan itu, kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, sama ada secara langsung ataupun tidak dalam menyuarakan pandangan dan kebimbangan mereka. Pandangan dan maklum balas yang diterima sangat penting bagi kami dalam menjernihkan is ini dengan baik.

“Akhir kata, segala kekhilafan yang berlaku ini akan menjadi pengajaran bagi kami dan kami sekali lagi memohon maaf di atas segala tindakan ini. Kami berharap agar perkara ini akan dijadikan sempadan dan pengajaran yang boleh dijadikan iktibar sama pada masa akan datang,” katanya.

Kempen *#MahasiswaUiTMBantah” yang menyaksikan para penuntut memakai baju hitam sebagai membantah gesaan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) supaya UiTM membuka sementara kemasukan program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks kepada bukan bumiputera demi kepentingan negara.

Artikel berkaitan:

Persatuan doktor terbesar di negara itu memetik kenyataan Prof Dr Raja Amin Raja Mokhtar, yang merupakan Ahli Lembaga Pengajian program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks dengan kerjasama antara UiTM dan Institut Jantung Negara (IJN) bahawa pindaan perundangan tidak diperlukan untuk UiTM, yang ditubuhkan di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, untuk menerima kemasukan pelajar bukan bumiputera.

Dr Raja Amin, yang merupakan perunding kanan pakar bedah kardiotoraks di Jabatan Pembedahan Kardiovaskular dan Toraks di Fakulti Perubatan UiTM berkata, sayap swasta universiti awam atau program pascasiswazah merupakan laluan alternatif untuk pelajar antarabangsa.

Artikel berkaitan: Tiada perbincangan buka UiTM kepada bukan bumiputera – Zambry

Menteri Pendidikan Tinggi turut menafikan terdapat perbincangan untuk membuka UiTM kepada bukan bumiputera.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat di peringkat kementerian mahupun peringkat Kabinet. – MalaysiaGazette