Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Shah Alam, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 09 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menafikan terdapat perbincangan untuk membuka Universiti Teknologi MARA (UiTM) kepada bukan bumiputera.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat di peringkat kementerian mahupun peringkat Kabinet.

“Seperti kenyataan saya pada 2 Mei yang lalu, KPT sememangnya tidak pernah membincang atau membenarkan UiTM dibuka kepada pelajar bukan bumiputera sepertimana yang telah dimainkan pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sebelum ini menggesa UiTM membuka sementara kemasukan program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks kepada bukan bumiputera demi kepentingan negara.

Persatuan doktor terbesar di negara itu memetik kenyataan Prof Dr Raja Amin Raja Mokhtar, yang merupakan Ahli Lembaga Pengajian program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks dengan kerjasama antara UiTM dan Institut Jantung Negara (IJN) yang menyebut pindaan perundangan tidak diperlukan untuk UiTM, yang ditubuhkan di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, untuk menerima kemasukan pelajar bukan bumiputera.

Dr Raja Amin, yang merupakan perunding kanan pakar bedah kardiotoraks di Jabatan Pembedahan Kardiovaskular dan Toraks di Fakulti Perubatan UiTM  berkata, sayap swasta universiti awam atau program pascasiswazah merupakan laluan alternatif untuk pelajar antarabangsa.

Susulan itu, Presiden MMA, Dr Azizan Abdul Aziz berkata: “Jika UiTM boleh membuka pintunya kepada pelajar antarabangsa, kami tidak nampak mengapa ia tidak boleh membuka kepada semua rakyat Malaysia, atas dasar keperluan.

“Demi kepentingan kesihatan penduduk, UiTM harus mempertimbangkan cadangan untuk membuka sementara program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks kepada bukan bumiputera.

“Ia sepatutnya mengutamakan keperluan rakyat. Kami menghadapi kekurangan pakar yang teruk dan pakar bedah kardiotoraks merupakan salah satu pengkhususan yang paling diminati”.

Dr Raja Amin telah membuat cadangan untuk membuka kemasukan ke program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks UiTM-IJN kepada bukan bumiputera untuk tempoh terhad sebagai penyelesaian kepada program latihan bagi pengkhususan itu.

Disember lalu, Majlis Perubatan Malaysia (MMC) menolak permohonan empat graduan perintis program pembedahan kardiotoraks untuk mendaftar sebagai pakar dalam Daftar Pakar Kebangsaan (NSR), atas dasar tidak mengiktiraf Fellowship Kolej Diraja Pakar Bedah Edinburgh dalam kelayakan Pembedahan Kardiotorasik.

“Semua orang terjejas akibat kekurangan pakar. Kami tidak fikir kami akan dapat memenuhi sasaran 28,000 pakar perubatan menjelang 2030 dan memerlukan UiTM menyokong usaha melahirkan lebih ramai pakar bedah kardiotoraks dengan membukanya kepada semua rakyat Malaysia yang ingin mengkhusus. Penjagaan kesihatan tidak boleh dipolitikkan,” kata Dr Azizan.

Naib Canselor UiTM Shahrin Sahib berkata, universiti itu komited untuk menegakkan Akta UiTM 1976 dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin “kedudukan istimewa” orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, katanya, UiTM akan menerima apa sahaja keputusan kerajaan dan Kementerian Pengajian Tinggi, dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, jika ada keperluan negara, kerana beliau menyifatkan universiti itu hanya sebagai “badan pelaksanaan ”.

Bagaimanapun, Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM Raduan Che Rose memberitahu,  jika program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks UiTM-IJN dibuka kepada bukan Melayu, ia hanya akan menjadi kemasukan “sekali sahaja” dan hanya melibatkan “sebilangan kecil. ” daripada pelatih bukan Melayu.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, isu ini sengaja dijadikan polemik dan dimainkan oleh pihak tertentu yang cuba menganggu-gugat polisi serta objektif asal penubuhan UiTM sekaligus menimbulkan kecelaruan dan perbalahan pelbagai pihak.

“KPT berpegang teguh kepada Fasal 1A Akta 173 – UiTM ditubuhkan menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan,” jelas Zambry lagi.

Dalam pada itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyeru mahasiswa di universiti itu memakai pakaian hitam esok sebagai membantah rancangan membuka UiTM kepada pelajar bukan bumiputera.

Mereka turut meminta mahasiswa memuat naik gambar bersama tanda pagar #MahasiswaUiTMBantah di platform media sosial sebagai menyokong kempen yang dilancarkan sejak semalam. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here