Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri (tiga dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas di sebuah rumah di Langkap, Teluk Intan, Isnin lalu.

IPOH – Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia berdepan hukuman mati selepas dicekup bersama dadah jenis heroin di sebuah rumah di Langkap dekat Teluk Intan, Isnin lalu.

Dalam serbuan yang dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak sekitar jam 9.30 malam itu, suspek lelaki berumur 40 tahun diberkas bersama dadah tersebut seberat 9.010 kilogram.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, hasil pemeriksaan di dalam rumah bekenaan menemui satu beg beroda berzip berwarna rose gold tidak berjenama yang berisi 20 peket lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 9,010 gram dianggarkan bernilai RM110,000.

“Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas suspek turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine serta suspek tidak mempunya rekod kesalahan lampau,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, berdasarkan siasatan yang dijalankan, sindiket tersebut mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak Mac tahun ini.

Katanya, dadah yang dirampas berasal dari negeri jiran dipercayai dari sebelah selatan serta suspek tidak mempunyai pekerjaan dan hanya terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah.

“Dadah yang dirampas disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan di negeri Perak serta boleh digunakan untuk 11,000 penagih,” ujarnya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan suspek direman selama tujuh hari mulai 21 hingga 27 Mei bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette