Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA –  Pendekatan mengkafirkan orang lain boleh disifatkan sebagai perkara yang membawa kemusnahan dasyat, kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menteri Dalam Negeri itu memberikan contoh kes insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor yang mana penyerang tersebut tidak bergaul dengan masyarakat dan menganggap orang lain sebagai kafir.

Sikat tersebut merupakan antara fokus dalam siasatan kes itu, katanya.

“Kita dapat ‘establish’ pertama (suspek) tidak campur dengan masyarakat, alasan tidak bercampur itu antaranya melalui siasatan polis adalah kerana melihat orang lain sebagai kafir.

“Sebab itu dia tidak pergi sembahyang sebab masjid itu dibina kerajaan. Kesan daripada itu sebab keyakinan dia bahawa Islam cuma dia, orang lain kafir.

“Polis buat siasatan bahawa mereka kuat mempercayai orang lain kafir. Bila kafir ini implikasi dia besar dan putuskan silaturahim antara sesama agama, membawa implikasi buruk kepada masyarakat dan negara,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri, di sini, hari ini.

Saifuddin mengulas kejadian serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram pada jam 2.30 pagi 17 Mei lalu yang  mengorbankan dua anggota polis, manakala seorang lagi mengalami kecederaan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, fokus siasatan bukan sekadar tertumpu kepada pelaku, malah elemen penghasut.

Jelasnya, siasatan yang dilakukan polis membabitkan keluarga pelaku mendapati mereka tidak bercampur masyarakat kerana menganggap orang lain sebagai kafir.

“Beri peluang lagi kepada polis untuk memperhalusi siasatan jadi berakhir sahaja tempoh reman polis akan mencadangkan apakah undang-undang yang boleh mereka ditahan untuk dilanjutkan lagi siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette