Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA – Tiga insiden terhadap tiga institusi membabitkan serangan Balai Polis Ulu Tiram, pencerobohan Balai Polis Dato’ Keramat dan Istana Negara tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain,.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, insiden pencerobohan Balai Polis Dato’ Keramat, Pulau Pinang disebabkan perbuatan mabuk sementara insiden cubaan pencerobohan Istana Negara adalah disebabkan oleh mimpi suspek.

“Yang kita tahan di Istana Negara, dia kata dia mimpi, mimpi itu memerintahkan dia untuk menghadap YPDA. (Insiden) Yang di Datuk Keramat dia mabuk, jadi tak sama,” katanya dalam sidang media sama.

“Tidak (mempunyai motif serangan yang sama). Berbeza pattern (corak) insiden itu,” katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri, di sini, hari ini.

Pada awal pagi 17 Mei lalu, Balai Polis Ulu Tiram diserang individu bertopeng dan berpakaian gelap serta bersenjatakan parang yang mengakibatkan dua anggota polis terkorban dan seorang lagi cedera manakala penyerang itu mati ditembak di lokasi kejadian.

Pada sebelah petang, polis menahan dua lelaki yang cuba memasuki Istana Negara, dengan sebilah parang di dalam kereta mereka.

Pada 19 Mei, polis menahan seorang lelaki yang dipercayai berada dalam pengaruh alkohol selepas cuba merampas submesingan jenis HK MP5 dalam milikan anggota di Balai Polis Dato Keramat, Pulau Pinang

Mengulas lanjut insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram, Saifuddin berkata, setakat ini lima ahli keluarga suspek masih direman.

“Di Ulu Tiram, bahawa dia bertindak sebagai lonewolf (berseorangan) dan siasatan polis sedang berlangsung dan dia membawa ke tangkapan dan disoal-siasat.

“Soal siasat di kalangan komuniti setempat itu penting dan boleh mendapati sama ada mengenali penyerang ini dan keluarga dia.

“Kita tangkap keluarga dia dan pasangan itu dan kita bebaskan pelajar berkenaan semalam, tapi keluarga masih lagi dan polis akan tentukan samada penggunaan undang-undang apa keatas mereka,” jelas. – MalaysiaGazette