Prof Dr Syed Muhammad Khairudin Al-Junied.

MELAKA – Kebanyakan universiti di negara Islam termasuk Malaysia dilihat sudah hilang ‘roh’ dan hanya menjadi alat orang politik dan ahli akademik yang gila pangkat untuk memenuhi agenda peribadi.

Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Singapura, Prof Dr Syed Muhammad Khairudin Al-Junied berkata, perkara itu berpunca apabila tiadanya penekanan terhadap kerohanian ilmu menyebabkan kajian dihasilkan tidak dapat mengubah pemikiran sejagat.

“Universiti-universiti yang ada di Malaysia dan dunia Islam hari ini tiada roh di dalamnya (kerana) yang kita tekankan adalah KPI (indeks pencapaian) sebab itu beribu-ribu muka surat tulisan pun sebenarnya tidak dapat mengubah masyarakat.

“Apa yang berlaku, universiti ini dah diperalatkan untuk pelbagai agenda politik, kadang-kadang agenda VC (Naib Canselor) tapi yang paling teruk menjadi alat orang yang gila pangkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Kertas Kerja Madani: Pendidikan Dalam Pembinaan Tamadun pada Konvensyen Madani 2024 di sebuah hotel di Ayer Keroh, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, profesor yang tersenarai sebagai antara 500 orang Islam paling berpengaruh di dunia itu berkata, adalah amat menyedihkan apabila kajiannya mendapati ada pensyarah yang hanya menyebarkan ilmu untuk mendapatkan pencen.

“Itu matlamatnya jadi apa-apa yang dibuat contohnya dalam kajian mengenai padi dan sebagainya hanyalah kerana mahukan pencen, dapat jadi orang ternama dan selebriti akademik,” – MalaysiaGazette