Kejernihan air di perairan lagun dan sekitar Pulau Layang-Layang membolehkan pengunjung dapat melihat ikan-ikan berenang dan hidupan laut yang berada di dalamnya dari permukaan air.

Oleh: Mohd Harun Abdullah

PULAU Layang-Layang merupakan salah satu daripada pulau milik Malaysia yang terletak di luar pelantar benua. Berada di dalam Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) negara, keunikan dan kekayaan sumber alam serta kejernihan air di sekitar pulau tersebut menjadikan ia khazanah yang amat bernilai. Lantaran itu, usaha untuk meneroka sumber-sumber yang ada di situ dan memahami ekosistemnya sangat penting agar memastikan setiap langkah pembangunan yang dilaksanakan tidak akan memudarat ke atas alam semulajadi dan sekitarnya.

Justeru itu, kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia telah mengamanahkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Pusat Penyelidikan Pulau-Pulau Kecil (SIRC)nya bagi menerajui satu penyelidikan bersama-sama beberapa universiti awam yang lain ke atas Pulau Layang-Layang. Universiti yang turut terlibat dalam usaha ini termasuklah Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia,
Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Baru-baru ini sekumpulan penyelidik daripada universiti berkenaan telah melakukan ekspedisi penyelidikan ke Pulau Layang-Layang bermula dari 20 hingga 27 April 2024. Perjalanan melibatkan dua buah bot nelayan yang disewa dan bertolak bermula dari jeti kampus UMS di Kota Kinabalu, mengambil masa selama lebih kurang 23 jam untuk sampai ke pulau tersebut.

Keindahan suasana di Pulau Layang-Layang tatkala senja amat mempersonakan dan memukau setiap pengunjung.

Kumpulan ekspedisi kali ini melibatkan seramai 15 orang penyelidik dan 7 orang staf sokongan. Penyelidik-penyelidik yang turut terlibat bagi menjayakan ekspedisi tersebut adalah mereka yang mengkhusus dalam bidang geologi, sains marin dan terumbu karang, pakar mamalia laut, perikanan, ekonomi, sejarah dan pelancongan. Turut terlibat bersama dalam ekspedisi berkenaan juga adalah dua orang penyelidik dari Institut Penyelidikan Perikanan Bintawa Sarawak, Jabatan Perikanan Malaysia.

Ketika berada di Pulau Layang-Layang, di antara aktiviti saintifik yang dijalankan sepanjang ekspedisi tersebut adalah mengkaji invertebrata pesisir pantai, jenis batu-batuan pulau serta kandungannya, menentukan lapisan-lapisan bawah tanah dengan kaedah seismik dan peralatan resistiviti, meninjau status terumbu-terumbu karang di dalam dan luar lagun. Di samping itu juga kajian ke atas kandungan dan kualiti air perairan di situ dilakukan bagi mengetahui dan memahami status semasa dan peranannya terhadap ekosistem dan hidupan-hidupan marin.

Para penyelidik juga melakukan selaman ke kawasan perairan lagun untuk menilai keadaan sangkar-sangkar ikan yang telah dibina awal oleh pihak Jabatan Perikanan Malaysia dan keadaan semasa terumbu karang di situ. Selain survei ke atas keberadaan spesis-spesis ikan, mamalia laut dan burung, turut dilakukan adalah pemetaan dan penilaian gunatanah bagi pelbagai tujuan termasuklah pelancongan dan ekonomi.

Sememangnya Pulau Layang-Layang mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding dengan kebanyakan pulau-pulau lain di Malaysia. Memiliki terumbu karang semula jadi yang indah, dinding dasar pulau yang curam dan dalam, kehadiran hidupan laut jenis pelagik serta air yang jernih, menjadikan pulau tersebut sebagai salah satu lokasi selaman skuba yang istimewa di dunia. Kedudukan pulau yang terletak 300 kilometer dari bandaraya Kota Kinabalu dan jauh dari tanah besar Sabah menjadikannya terpencil dari gangguan manusia.

Mohd Harun (belakang, tujuh dari kanan) bersama rakan penyelidik yang menyertai ekspedisi.

Kepelbagaian biologi di sekitarnya juga turut terjamin kekal dalam keadaan ekosistem semulajadinya. Salah satu daya tarikan utama Pulau Layang-Layang adalah kehadiran jerung palu di perairannya. Sejenis ikan jerung yang jarang ditemui. Selain itu, terdapat juga spesis pelagik seperti ikan barracuda dan jerung paus, serta keberadaan penyu dan ikan lumba-lumba. Secara ringkasnya, perairan pulau tersebut memang kaya dengan pelbagai jenis ikan dan hidupan-hidupan marin.

Berdasarkan hasil tinjauan dan penyelidikan yang telah dilakukan semasa ekspedisi, ternyata Pulau Layang-Layang memiliki ekosistem alam daratan dan lautan yang istimewa dan menarik. Namun pulau tersebut juga mempunyai cabarannya tersendiri seperti kehadiran koloni tapak sulaiman mahkota berduri mampu mengancam dan merosakkan terumbu-terumbu karang di situ. Jadi, ada wajarnya jika Pulau Layang-Layang diwartakan menjadi taman laut agar pengurusan dan lindungan sumber alam pulau serta terumbu-terumbu karang dan perairan di situ dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan terkawal.

Alam sekitar yang terpelihara bukan sahaja akan membantu mengekalkan rantai makanan dan kepelbagaian biologi di situ stabil dan kaya, tetapi juga dengan adunan keindahan pemandangan di pulau tersebut tatkala siang hari dan matahari terbenam sesungguhnya mampu menawarkan suatu peluang pembangunan ekonomi menerusi aktiviti-aktiviti pelancongan yang bersifat mesra alam dan mapan.

Penulis adalah Profesor dan felo utama di Pusat Penyelidikan Pulau-Pulau Kecil (SIRC), Universiti Malaysia Sabah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast