Anggota pasukan penyelamat menemui mayat mangsa dari lokasi nahas helikopter yang membawa Presiden Iran Ebrahim Raisi di Varzaghan, di barat laut Iran, pada 20 Mei 2024. Foto AFP

TEHRAN – Angkatan Tentera Iran telah mengeluarkan laporan pertamanya mengenai aspek dan punca nahas helikopter yang menyebabkan Presiden Ebrahim Raisi dan delegasinya terbunuh baru-baru ini.

Laporan tersebut menjelaskan lebih lanjut mengenai insiden Ahad lalu, yang mana Ebrahim dan rombongannya, termasuk Menteri Luar Hossein Amirabdollahian maut selepas pesawat yang membawa mereka terhempas di barat laut Iran.

Pasukan penyiasat yang ditugaskan untuk memeriksa kejadian itu telah dihantar ke lokasi nahas pada Isnin, kata laporan itu.

Mereka telah berjaya mengumpul “sebahagian yang luar biasa” daripada maklumat diperlukan untuk menyiasat unsur-unsur yang boleh menyumbang kepada kejadian itu, tambahnya.

Helikopter itu terhempas semasa terbang di sepanjang laluan yang telah dirancang, kata laporan itu, dan tidak menyimpang dari laluan.

Laporan itu berkata, helikopter terbakar selepas terhempas ke kawasan pergunungan dan mendedahkan serpihan helicopter berkenaan tidak mempunyai sebarang lubang peluru atau tanda-tanda kesan serupa.

Menurut laporan, lokasi nahas dikesan oleh kenderaan udara tanpa pemandu Iran pada 5 pagi (waktu tempatan) pada hari Isnin, dan pasukan mencari berjaya mengesan kawasan berkenaan itu.

Komunikasi yang berlaku sebelum insiden antara pesawat dan kawalan darat tidak mengandungi kandungan yang “mencurigakan”, katanya.

Tambah laporan itu,  sebarang penemuan susulan pada masa akan datang akan dimaklumkan kepada negara. – Agensi