Penyanyi nasyid dan Komposer, Yasin Sulaiman dibawa oleh anggota polis untuk mendengar keputusan akhir pendakwaan atas kesalahan menanam 17 pokok ganja di kediamannya di Kota Damansara ketika di Mahkamah Sesyen 1 Petaling Jaya, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 3 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 11 Jun depan bagi keputusan rayuan lepas dan bebas penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman.

Tarikh itu dicapai selepas peguam yang mewakili Muhammad Yasin, Ariff Azami meneliti rayuan tersebut.

Pada prosiding hari ini, Penolong Kanan Pendaftar, Nadia Othman memberi tempoh selama tiga minggu bagi membolehkan pihak Muhammad Yasin meneliti rekod rayuan kes itu.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam memberi tempoh selama sebulan kepada Muhammad Yasin untuk melantik peguam bagi prosiding rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasannya atas tuduhan kes dadah itu.

Prosiding yang sepatutnya berlangsung hari ini bagi memaklumkan pelantikan peguam Muhammad Yasin kembali melantik peguam yang pernah mewakilinya ketika pendakwaan kes di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya sebelum ini.

Pada 29 November lepas, Hakim Mahkamah Sesyen, Faiz Dziyauddin membebas dan melepaskan tertuduh daripada tiga pertuduhan memiliki dadah seberat 193.7 gram di bawah Seksyen 39(A) (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang didakwa dilakukan dekat Kota Damansara pada dua tahun lalu.

Namun beliau telah memerintahkan Muhammad Yasin untuk ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama mana yang diperkenan oleh Sultan Selangor seperti yang diperuntukkan oleh Seksyen 348(2) Kanun Prosedur Jenayah.

Ini kerana ketika prosiding seorang pakar perunding psikiatri pada 17 Oktober tahun lalu dalam keterangan mencadangkan tertuduh menjalani rawatan secara berterusan akibat kecelaruan bipolar yang dialaminya sejak 2009.

Penyanyi itu juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah di kediamannya di Persiaran Surian, Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, jam 5.30 petang, pada tarikh sama.

Pertuduhan memiliki dadah mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 kali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menanam pokok kanabis, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB 1952 dan boleh dipenjara seumur hidup serta tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast