Seramai 42 PATI Indonesia termasuk bayi berusia setahun yang diseludup keluar dari perairan negara semalam menggunakan bot nelayan asing ditahan Maritim Selangor. Ihsan Maritim Selangor

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan  Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah bot nelayan Indonesia yang disyaki cuba membawa keluar pendatang asing tanpa izin(PATI) dari perairan negara, tengah hari semalam.

Pengarahnya, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kapal ronda Maritim Malaysia KMDANGA membuat tangkapan itu pada kedudukan 2.4 batu nautika barat daya Tanjung Gabang, Morib semasa melaksanakan operasi rondaan Op Ehsan, Op Murni dan Op Tiris 3.0.

“Hasil pemeriksaan di atas bot itu penguatkuasa menjumpai seramai 42 individu yang dipercayai PATI warga Indonesia yang terdiri daripada 30 lelaki, 11 wanita dan seorang bayi lelaki berusia setahun.

“Kesemua mereka didapati bersembunyi di bawah kanvas berwarna biru di dalam bot nelayan Indonesia itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Seramai 42 PATI Indonesia termasuk bayi berusia setahun yang diseludup keluar dari perairan negara semalam menggunakan bot nelayan asing ditahan Maritim Selangor. Ihsan Maritim Selangor

Tambah beliau, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua PATI gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah kepada penguatkuasa Maritim Malaysia.

“Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Mereka turut melakukan kesalahan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 iaitu melakukan penyeludupan migran dan keluar daripada Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan.

“Kesemua yang ditahan bersama bot nelayan asing itu dibawa ke jeti Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor, Pelabuhan Klang sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

“Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal dari sebarang pencerobohan di perairan Malaysia dan tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang yang telah dilakukan.

“Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut orang ramai boleh menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-6606652 untuk maklum balas segera,” katanya. – MalaysiaGazette