Tengku Zafrul Aziz menyertai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat bersama pemimpin-pemimpin industri di Jepun.

TOKYO – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berjaya meraih potensi pelaburan bernilai RM1.45 bilion dan eksport RM550 juta daripada pertemuan dengan syarikat Jepun bersempena dengan lawatan kerja singkat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun bermula 22 hingga 24 Mei, 2024.

Beberapa projek daripada pelaburan itu akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun dan bakal membantu Malaysia mewujudkan ekosistem yang kukuh dalam sektor semikonduktor, tenaga boleh baharu dan teknologi hijau, kata MITI.

Manakala beberapa projek merupakan pemangkin penting ke arah mencapai matlamat pelepasan karbon sifar bersih Malaysia menjelang 2050.

Antara syarikat yang mengadakan pertemuan dengan MITI ialah IHI Corporation, Nisshin Oillio Group, Tokuyama Corporation, Sumitomo Corporation, ENEOS Holdings, Mitsubishi Corporation dan Tokyo Gas.

“Kita berbesar hati dapat memperoleh potensi pelaburan RM1.45 bilion dan potensi eksport RM550 juta daripada lawatan ringkas tapi membuahkan hasil ini.

“Kita mengalu-alukan projek pembesaran yang diumumkan oleh pelabur Jepun sedia ada merentas pelbagai sektor strategik iaitu semikonduktor, kimia dan petrokimia, tenaga boleh baharu, minyak dan gas, serta minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit,” kata Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam satu kenyataan hari ini.

Pertemuan bersama syarikat Jepun di Tokyo itu diketuai Anwar yang turut disertai Tengku Zafrul.

Projek sedemikian mencerminkan keyakinan berterusan pelabur Jepun terhadap landskap perindustrian Malaysia, yang sedang menjalani inisiatif transformatif utama seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), katanya Tengku Zafrul.

Jepun merupakan rakan dagangan keempat terbesar Malaysia pada 2023 dan pelabur keempat terbesar dalam sektor pembuatan.

Sehingga 2023, sejumlah 2,810 projek pembuatan dengan penyertaan Jepun telah dilaksanakan, dengan jumlah pelaburan bernilai RM102.11 bilion (US$29.67 bilion) yang mewujudkan 344,120 peluang pekerjaan.

Beliau berkata dengan penekanan kepada pembangunan mampan dan aktiviti pembuatan mewah, MITI dan agensinya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan terus mempergiatkan usahanya dengan Jepun untuk memacu lebih banyak perkongsian yang saling menguntungkan.

Menurutnya, pelabur Jepun dialu-alukan untuk melabur dalam sektor yang digalakkan, seperti semikonduktor, aeroangkasa, kimia dan petrokimia, ekonomi digital, elektrik dan elektronik, farmaseutikal, teknologi hijau dan tenaga boleh baharu.

Semasa Persidangan Nikkei 2024 yang disertai Perdana Menteri, Tengku Zafrul, turut menjadi ahli panel bagi sesi bertemakan “Circular Economy to Support Asian Growth” (Ekonomi Sirkular Sokong Pertumbuhan Asia). – BERNAMA