KUALA LUMPUR – Gergasi sepak takraw dunia Thailand akhirnya mengakui Malaysia ketika ini lebih kuat berbanding skuad Gajah Perang, kata pengurus merangkap ketua jurulatih Thailand ke kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di sini, Supot Tumpracha.

Pengakuan itu dibuat Tumpracha selepas menyaksikan Malaysia menumbangkan Thailand dalam acara double dan regu divisyen premier kejohanan itu di Stadium Titiwangsa di sini, Rabu lepas.

Menurut beliau, kerja berpasukan dan komunikasi antara pemain negara sangat bagus, sekali gus dilihat sebagai pemangkin persembahan mengagumkan yang ditunjukkan anak buah Ahmad Jais Baharun.

“Tahniah kepada Malaysia kerana menewaskan Thailand, saya terima dan harus menyatakan bahawa Malaysia lebih kuat dari Thailand waktu ini.

“Sekarang, saya rasa kerja berpasukan dan komunikasi dalam pasukan Malaysia sangat baik dan juga libasan ‘sunback’ sangat merbahaya di mana ia sangat sukar dipertahan dan disekat,” katanya dalam Bahasa Thailand yang diterjemahkan oleh jurubahasa pasukan ketika ditemui di sini, hari ini.

Libasan sunback atau lebih dikenali sebagai ‘maniam’ dalam kalangan komuniti sepak takraw tempatan dipraktikkan oleh antara lain apit kanan atau ‘killer’ pasukan negara Mohamad Azlan Alias.

Pada masa sama, Tumpracha menyifatkan kekalahan Thailand Rabu lepas dipengaruhi sokongan padu penonton tuan rumah yang membuatkan para pemainnya gemuruh dan tertekan.

“Sudah tentu sorakan penyokong tuan rumah menjadikan pemain kami gemuruh dan tertekan.  Di Thailand, pemain tidak hadapi situasi sebegini, sorakan penyokong Malaysia sangat kuat, terlalu kuat,” katanya.

Rabu lepas, skuad kebangsaan mencipta sejarah apabila berhasil menamatkan penguasaan Thailand selepas menewaskan mereka pada pertandingan akhir acara regu dan double masing-masing dengan keputusan 2-0.

Tumpracha berkata selepas dua kekalahan di pertandingan akhir itu, Thailand berjanji akan berusaha menjuarai acara berpasukan yang sedang berlangsung ketika ini.

“Dalam acara berpasukan, kami mempunyai banyak pilihan, di tepi gelanggang kami mempunyai banyak pemain yang bagus, jadi saya berjanji pasukan Thailand akan menang jika kedua-dua pasukan bertemu di perlawanan akhir nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Thailand hari ini mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir acara berpasukan selaku juara Kumpulan B selepas mudah mengatasi China 3-0 pada aksi terakhir sekali gus akan membuat perhitungan menentang naib juara Kumpulan C yang akan diketahui malam ini. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast