Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. Foto AIZAT ZAINAL, 17 MEI 2024

KUALA LUMPUR – Polis mengesan sindiket penipuan pelaburan yang menggunakan logo Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) bagi mengelirukan orang ramai untuk melakukan pelaburan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, setakat ini polis telah menerima 72 laporan daripada mangsa skim penipuan pelaburan itu, membabitkan kerugian kira-kira RM2 juta.

“Modus operandi sindiket penipuan pelaburan ini menggunakan logo MIDF disyaki untuk mengelirukan dan menjerat mangsa ke dalam perangkap pelaburan mereka.

“Kes berkenaan sedang disiasat di Bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Ramli, siasatan mendapati skim terbabit menawarkan keuntungan yang tinggi hanya dalam tempoh tiga hingga enam jam selepas pelaburan dilakukan.

“Sindiket itu menawarkan lapan pakej pelaburan bermula daripada nilai pelaburan serendah RM300 yang akan memberi pulangan keuntungan RM13,000 dan pelaburan maksimum RM3,000 yang membawa keuntungan RM99,999 kepada setiap pelanggan,” ujarnya.

Tambah beliau, siasatan juga mendapati pembayaran wang hasil pelaburan itu dijanjikan dibayar menerusi akaun bank persendirian yang dipercayai akaun keldai. – MalaysiaGazette