Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain Foto MOHD ADZLAN, 02 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia menafikan laporan yang mendakwa kononnya pemain kebangsaan Harimau Malaya Muhammad Faisal Abdul Halim menaiki kereta jenis Toyota Vellfire semasa kejadian simbah asid yang berlaku jam 5.51 petang di sebuah pusat membeli belah di Kota Damansara Petaling Jaya pada 5 Mei lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sebaliknya laporan yang ditularkan membabitkan kenderaan dinaiki pemain Selangor FC itu tidak mempunyai pengesahan daripada mana-mana pihak polis yang bertangungjawab dalam siasatan kes tersebut.

Katanya, sebelum ini polis memaklumkan kejadian berlaku semasa Faisal berjalan menuju ke arah kenderaan miliknya.

“Tetapi, sama sekali tidak pernah keluarkan kenyataan kereta digunakan Toyota Vellfire, mahupun daripada saya (KPN), Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain atau Ketua Polis Selangor (Datuk Hussein Omar Khan).

“Yang didedahkan sebelum ini adalah Faisal sedang berjalan ke arah keretanya dan suspek dipercayai menunggang motosikal.

“Jadi, tidak timbul isu bercanggah laporan dikeluarkan polis. Ia dilaporkan media, tidak tahu sumber mereka dari mana,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette sebentar tadi.

Dalam perkembangan berkaitan Razarudin mengingatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes tersebut.

“Sumber yang sah hanya daripada pihak polis, jadi apa-apa maklumat kami akan kongsikan nanti kepada umum,” tegasnya lagi.

Semalam media melaporkan tentang penularan satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang disyaki membabitkan kejadian simbah asid ke atas Faisal, menyaksikan seorang lelaki yang memakai topi dan bahagian muka dilindungi kain, di sebuah pusat beli belah, di sini.

Lelaki yang menunggu di tepi kemudian meluru ke arah Faisal dan terus menyimbah cecair asid beberapa kali terhadap pemain tersebut.

Kejadian itu juga disaksikan beberapa individu berhampiran, selain wanita dipercayai isteri Faisal.

Ketika kejadian, turut dilihat seorang lelaki bermotosikal dipercayai seorang lagi suspek sedang menunggu berhampiran kenderaan Faisal iaitu jenis BMW.

Rentetan insiden penularan video itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan menerusi kenyataan semalam memaklumkan, polis telah membuka siasatan bagi mengesan pihak yang mendedahkan rakaman CCTV itu dan juga individu yang menyebarkan video tersebut di media sosial.

Katanya, video itu merupakan bahan bukti rahsia kes yang sedang dikendalikan siasatan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Ujar beliau, kertas siasatan itu dibuka di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan kerana kesalahan pendedahan maklumat dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.- MalaysiaGazette