Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.- Foto MOHD ADZLAN, 25 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada kerajaan Ireland, Norway dan Sepanyol yang membuat keputusan untuk mengiktiraf negara Palestin.

Anwar berkata, tiga negara Eropah itu memilih untuk berada di landasan sejarah yang tepat.

Tambahnya, tindakan yang diambil oleh Ireland, Norway dan Sepanyol akan membolehkan timur tengah mencapai keamanan dengan segera.

“Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan Ireland, Norway dan Sepanyol tatkala memilih untuk berada di landasan sejarah yang tepat serta berdiri tegak di jalur kemanusiaan dan prinsip keadilan.

“Niat murni negara-negara ini jelas terpacul saat diumumkan keputusan tersebut, dan ini bukti nyata bahawa mereka memperaku hak rakyat Palestin kepada prinsip kedaulatan, maruah dan dalam menentukan nasib dan masa depan sendiri.

“Detik bersejarah ini menggerakkan dunia untuk lebih cepat mencapai dan memperteguh keamanan di benua timur tengah,” kata Anwar dalam kenyataan.

Sementara itu Anwar meminta negara lain yang belum mengiktiraf kewujudan negara Palestin untuk segera berbuat demikian.

Menurutnya, negara terbabit perlu sedar bahawa banyak negara mamahai perjuangan yang dilakukan rakyat Palestin untuk keluar daripada penindasan Israel.

“Kepada negara-negara yang lain yang belum berbuat demikian, fahami fakta ini; bahawa dunia semakin celik kepada aspirasi dan perjuangan warga Palestin, dan usaha mereka dalam mencari dan menjelmakan keadilan tidak mampu tertahankan lagi.

“Ayuh bersama di garis ini dalam mengemudi sejarah lantas memungkinkan perubahan yang bermakna buat rakyat Palestin,” seru Anwar.

Ireland, Sepanyol dan Norway semalam membuat pengumuman akan mengiktiraf secara rasmi sebuah negara Palestin minggu depan.

Pengumuman buat secara Bersama oleh Perdana Menteri Ireland Simon Harris, Perdana Menteri Norway Jonas Gahr Støre dan Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sánchez

Ketiga-tiga negara Eropah itu berkata keputusan penting mereka adalah cara terbaik untuk mencapai keamanan berkekalan di Timur Tengah, tetapi ia mencetuskan kecaman pantas daripada Israel, apabila menteri luarnya mengarahkan penarikan balik serta-merta dutanya dari negara-negara tersebut.

Kebanyakan dunia sudah mengiktiraf kenegaraan Palestin. Lebih daripada 140 daripada 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah membuat pengiktirafan rasmi mereka.

Bagaimanapun hanya beberapa negara dalam Kesatuan Eropah yang dianggotai 27 anggota berbuat demkian.

Israel telah menyerang Gaza iaitu satu-satunya wilayah Palestin yang masih bebas daripada penjajahan Zionist sejak Oktober tahun lalu dan telah membunuh lebih 35,000 penduduk dan memusnahkan hampir 80 infrasturktur di wilayah itu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast