Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Selangor.

KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat kolumnis bernama Andrew Sia yang menulis artikel mendakwa Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengamalkan sistem ‘apartheid’ yang kini mendapatkan kritikan hebat pelbagai pihak di negara ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan dikendalikan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu kerana berkelakuan mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Kita juga siasat kes di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta mengikut Seksyan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian.

“Setakat pukul 6 petang tadi, sebanyak 14 laporan polis telah diterima di seluruh negara dalam kes ini.

“Kita sedang memohon profiling kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mendapatkan butiran penulis artikel terbabit untuk membantu siasatan lanjut polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) telah membuat laporan polis terhadap kolumnis sebuah portal berita, Andrew Sia kerana menggelar Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai “akademi apartheid”.

Ketua Penerangan Parti Putra, Sharulutfi Sharis tampil membuat laporan polis itu di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dekat sini kira-kira pukul 4 petang semalam.

Sharulutfi berkata, artikel kolumnis itu bersifat tidak adil, prejudis dan boleh mencetuskan kemarahan orang Melayu.

“UiTM ditubuhkan dengan tujuan memberi peluang pendidikan kepada bumiputera, bukan untuk melaksanakan diskriminasi.

“Perbandingan yang dibuat dalam artikel tersebut merendahkan usaha dan integriti UiTM,” dakwanya.

Pada 22 Mei lalu, Andrew menulis artikel mengenai isu parallel pathway dan keengganan UiTM membuka pintu buat sementara waktu kepada bukan bumiputera dalam bidang pasca-siswazah untuk menangani kekurangan pakar bedah kardiotoraks.

Dalam isu ini, Pemuda UMNO juga mengarahkan anggotanya membuat laporan polis di seluruh negara selain menuntut permohonan maaf terbuka daripada Andrew.-MalaysiaGazette