Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hamzah Zainudin mencadangkan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turun ke pasar basah di sekitar ibu negara bagi meninjau kenaikan harga barang yang semakin menghimpit masyarakat.

Katanya, langkah itu perlu bagi melihat sendiri kenaikan harga barang yang berlaku kini dan akan terus meningkat sekiranya rasionalisasi subsidi diesel diteruskan kerajaan.

“Saya cadangkan kepada Perdana Menteri, balik Tokyo pergi tinjau Pasar Raja Bot. Lihat sendiri kenaikan harga barang seperti yang dilaporkan Harian Metro. Harga cili padi naik ke RM28/kg berbanding RM18 sebelum ini.

“Harga sawi naik ke RM11 berbanding RM7 sebelum ini dan harga kangkung naik ke RM10 berbanding RM8 sebelum ini. Itu baru harga sayur, belum lagi harga barangan keperluan rakyat yang lain,” kata Ketua Pembangkang itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Hamzah berkat,a kenyataan Anwar tidak berpijak di bumi yang nyata.

Ia tidak mengambil kira isu pokok yang meresahkan rakyat yang mana kesan pemotongan subsidi minyak akan memberikan kesan keseluruhan kepada rantaian ekonomi.

“Yang pastinya akan melonjakkan lagi kos sara hidup rakyat, ketika harga barang sudah pun melambung tinggi.

“Betul, pemotongan subsidi diesel ini melibatkan sekelompok sosio masyarakat dan dijangka menjimatkan RM4 bilion setahun.

“Tapi, ini juga bermakna akan ada sekumpulan besar rakyat perlu membayar RM4 bilion itu dari ‘kais pagi, makan pagi’ mereka. Siapa yang akan tanggung kenaikan kos ini? Pastinya, kumpulan M40 dan B40 yang paling merasai impaknya,” katanya.

Kerajaan sebelum ini jelas Anwar, bersetuju menyelaraskan pemberian subsidi ke atas diesel dengan pelaksanaannya tidak membabitkan Sabah dan Sarawak.

Pengecualian itu diberi kerana kebanyakan keluarga di Sabah dan Sarawak menggunakan diesel untuk kenderaan harian mereka.

Langkah itu bakal memberi penjimatan RM4 billion setahun yang akan digunakan untuk faedah rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. sejak jadi kerajaan dan pembangkang, isu harga naik dijadikan modal politik. rasanya rakyat bijak untuk menilai dan menangani isu kenaikan harga dan perlukah PM untuk turun menyelesaikannya? PM kan ada kerja yng lebih besar untuk rakyat dan negara?

Comments are closed.