KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Negeri Johor, Datuk Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan jawapan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung isu kelewatan menaik taraf sekolah daif di negara ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, jawapan yang diberikan menteri Kabinet itu tidak realistik kerana terdapat kelewatan selama tiga tahun untuk menaiktaraf sekolah-sekolah berkenaan.
“Hairan juga tiga tahun dianggap tidak lewat bahkan dikatakan amat pantas. Ini bukan bina sekolah baru.
“Menteri pula tidak beri “timeline” bila naik taraf 14 sekolah itu akan dimulakan dan bila akan siap. Ia bukan jawapan yang bagus.
“Apakah peruntukan itu masih ada? Kalau ikut prosedur kewangan duit yang tidak dibelanjakan pada tahun semasa akan dipulangkan,” soal Puad dalam satu kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan Puad ekoran jawapan Fadhlina bahawa KPM menafikan timbul isu kelewatan menaik taraf sekolah daif di negara ini berikutan usaha itu dialksanakan berdasarkan giliran dan jadual ditetapkan kerajaan.
Fadhlina berkata, kerajaan sangat komited memastikan akses pendidikan terbaik untuk murid di negara ini dan proses menambah baik sekolah usang dilakukan secara berterusan.
Ahli Parlimen Nibong Tebal itu menjawab persoalan Puad agar KPM menghapuskan segala birokrasi yang menyulitkan, sebaliknya segera menyelesaikan isu sekolah daif.
Ia susulan kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi Ahad lalu mengenai 14 sekolah dikategorikan daif di negeri itu yang sudah diluluskan peruntukan untuk dibaiki, tetapi tiada satu pun berjaya disiapkan selepas tiga tahun.
Mengulas lanjut, Puad berkara, jawapan Fadhlina tidak Madani apabila terdapat percanggahan kerana Fadhlina menegaskan projek tersebut tidak lewat sedangkan ia sudah tiga tahun berlalu.
“Jawapan Menteri KPM pula ialah tidak berlaku kelewatan. Kena ikut giliran dan jadual yang ditetapkan. KPM atau JKR kerja sangat pantas.
“Ini bukan mohon peruntukan baru yang memang kena ikut giliran. Ini peruntukan sudah lulus. Kenapa sudah tiga tahun belum dilaksanakan.
“Apakah KPM amal dasar monopoli. Iaitu seorang kontraktor sahaja dilantik untuk buat semua kerja naik taraf sekokah daif di Malaysia? Patutlah lambat,” ujar Puad.
Onn Hafiz sebelum ini berkata, sebanyak 14 buah sekolah dikategorikan sebagai sekolah daif di Johor sudah diluluskan peruntukan untuk dibaiki tetapi selepas tiga tahun tiada satu pun projek itu berjaya disiapkan. – MalaysiaGazette
PMX kena cari pengganti menteri ini..nampak sangat ketidak cerdikkan menteri. tolong lah buat reformasi yg benar agar kewibawaan kerajaan Perpaduan tidak kerap dipersoalkan.