Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman bercakap pada Malam Bersamamu Rafah 2024 di Glam Hall, Damansara. Foto SYADILA AMARI, 25 MEI 2024

PETALING JAYA – Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman menyifatkan apa yang sedang berlaku di bumi Palestin pada hari ini jauh lebih buruk berbanding peristiwa Nakbah 1948.

Katanya, ia terbukti apabila lebih 15,000 kanak-kanak mati syahid atas kekejaman Israel dan menjadi antara 36,000 penduduk di sana yang meninggal dunia.

“Sekarang kita tidak boleh menafikan bahawa genosid sedang berlaku di bumi Gaza. Pembunuhan berlaku setiap 10 minit satu orang akan mati syahid dan jumlah kanak-kanak yang meninggal dibunuh melebihi 15,000. Jumlah ini adalah sama jumlah orang yang mati syahid, terkorban pada Nakbah pada tahun 1948.

“Dulu kita sebut kita tidak mampu melakukan apa-apa untuk menghalang bumi Palestin diambil, hari ini dukacitanya dalam kalangan semua kezaliman ini berlaku, dalam kalangan wajah kanak-kanak kita boleh tengok satu persatu bagaimana runtuhan-runtuhan berlaku di atas kepala mangsa-mangsa kita masih juga tidak mampu melakukan apa-apa

“Maka apa yang sedang berlaku adalah Nakbah yang jauh lebih teruk daripada Nakbah pertama dan mungkin ada istilah lain seperti genosid 1.0 dengan harapan tidak berlaku genosid yang seterusnya,” katanya Ketika ditemui pada majlis Malam Bersamamu Rafah.

Malam Bersamamu Rafah dianjurkan dengan Kerjasama Penaung Pertubuhan Erat Kasih Alha Alfa (PEKAA), Datuk Seri Alha Alfa dan Penaung Musolla Aisya Datin Seri Umie Aida.

Beberapa artis hadir memberikan sokongan seperti Erma Fatima, Beto Kusyairy, Nana Mahazan, Khir Rahman, Zizi Kirana, Zahida Rafik, Lufya Omar dan ramai lagi.

Pada majlis yang sama turut dilancarkan Tabung Bersamamu Rafah bagi mengutip sumbangan dalam kalangan artis untuk disumbangkan kepada penduduk Palestin melalui Cinta Gaza Malaysia.

Sasaran kutipan adalah sebanyak RM500,000 bermula 25 Mei hingga 8 Jun ini.

Mengulas lanjut, Nadir menyifatkan program berkenaan sebagai usaha baik untuk para artis bukan hanya menyumbang malah mengajak dan memberikan kesedaran kepada masyarakat untuk konsisten dengan lantang menyatakan sokongan terhadap Palestin, sekaligus membantah kekejaman zionis.

“Malam Bersamamu Rafah program ini diadakan di waktu semangat atau sokongan kepada Palestin telah banyak berkurang khususnya di kalangan rakyat Malaysia walaupun kebangkitan sedang berlaku di luar negara khususnya di kalangan pelajar.

“Justeru program seperti ini sangat baik dan alhamdulillah berjaya untuk mensasarkan satu kumpulan yang sedang diserang oleh netizen pada hari ini iaitu kumpulan artis, pempengaruh, selebriti dan apa yang dilakukan ini suatu usaha yang sangat berkesan kerana mereka bukan semata-mata boleh memberikan sumbangan tetapi boleh menarik orang lain juga memberikan sumbangan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast