Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Port Moresby, Papua New Guinea sedang memantau insiden tanah runtuh di daerah Paiela, Enga.

Kementerian Luar berkata, suruhanjaya itu giat menyelaras usaha dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung insiden tersebut.

“Rakyat Malaysia yang terjejas dinasihatkan untuk berwaspada dan berhati-hati, mengikuti perkembangan terkini serta nasihat yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Semalam, tanah runtuh di Enga, utara Papua New Guinea  menimbus lebih 100 rumah.

Perdana Menteri, James Marape berkata, kerajaannya telah menghantar pasukan bencana ke tapak tanah runtuh untuk memulakan kerja bantuan, mengesan mayat, dan pembinaan semula infrastruktur.

Imej dalam talian menunjukkan berpuluh-puluh orang memanjat ke atas batu yang tumbang untuk meninjau kerosakan akibat tanah runtuh. Banyak rumah kelihatan roboh dan pokok tumbang.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau mempunyai sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Port Moresby, Lot 16, Section 531, Rosewood Executive Residence, Savannah Heights, P. O. Box 1400, Port Moresby, Papua New Guinea atau menghubungi talian +675-3251506 / +675-3252076 / +675-71788414 (untuk kecemasan). – MalaysiaGazette