KUCHING – Mulai 1 Julai 2024 Kementerian Komunikasi melalui Bernama akan menampung caruman Perkeso wartawan sambilan atau stringers selama setahun.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, berdasarkan data Jabatan Penerangan, 565 pengamal media yang berdaftar adalah bertaraf sambilan.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengesahkan, 538 daripadanya tiada caruman PERKESO, namun layak didaftarkan.
“Ini bermaksud, untuk tahun pertama caruman, ianya ditanggung
sepenuhnya oleh Kementerian Komunikasi melalui Bernama.
“Saya juga meminta agar semua organisasi media berdaftar untuk mengemaskini data masing-masing bagi memudahkan bantuan ini disalurkan oleh kementerian,” katanya ketika berucap pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional 2024 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini, hari ini.
Beliau turut mengumumkan pemberian rebat bil telefon pelan pascabayar yang dinamakan Insentif Rebat Rahmah Pengamal Media akan dilaksanakan untuk tahun kedua pada bulan kebangsaan nanti.
Katanya, mana-mana organisasi media berdaftar yang masih
belum melanggan kadar korporat yang ditawarkan oleh pengendali rangkaian mudah alih (MNO) boleh terus berhubung dengan mana-mana pengendali MNO bagi mendapatkan kadar korporat khas untuk pengamal media bermula 1 Julai 2024.
Dalam ucapannya, Fahmi memberitahu, Kementerian Komunikasi kini di peringkat akhir merealisasikan penubuhan Majlis Media Malaysia yang berperanan sebagai badan kawal selia kendiri bagi menjaga kepentingan media dan pengamalnya.
Kerajaan kini dalam proses menyediakan Analisis Impak Draf Rang Undang-undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMC) kepada
industri media sebelum dibentangkan di Parlimen pada
Oktober tahun ini. – MalaysiaGazette