Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. Foto SYADILA AMARI, 26 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Kerugian yang dialami warga emas akibat menjadi mangsa penipuan dalam talian bagi tempoh 2021 hingga 2023 lalu telah mencecah jumlah RM552.5 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, nilai kerugian itu membabitkan 5,533 mangsa warga emas, atau 6.4 peratus daripada jumlah keseluruhan 86,266 individu yang menjadi mangsa penipuan dalam talian untuk tempoh tiga tahun itu melibatkan nilai kerugian berjumlah RM2.7 bilion.

Katanya, walaupun rekod polis menunjukkan bilangan mangsa penipuan dalam talian dalam kalangan warga emas berusia 61 tahun ke atas adalah rendah, namun nilai kerugian wang yang dialaminya mereka amat tinggi.

“Kalau kita lihat, trend yang hampir sama juga dicatatkan pada tahun ini di mana daripada 11,918 kes penipuan dalam talian yang direkodkan sehingga 19 Mei lalu, seramai 990 mangsa atau 8.3 peratus daripadanya merupakan adalah warga emas.

“Pada tahun ini sejak Januari sehingga 19 Mei lalu apabila statistik menunjukkan kerugian membabitkan mangsa warga emas sudah mencecah RM130.4 juta atau 27.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kerugian yang dicatatkan iaitu RM471.5 juta,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Tambah Ramli, lebih membimbangkan dalam tempoh sama kelompok warga emas mencatatkan jumlah kerugian tertinggi berbanding mangsa kategori umur lain yang diperolehi PDRM.

Jelas beliau, rekod PDRM dalam tempoh tiga tahun dari 2021 hingga 2023 menunjukkan jumlah kerugian membabitkan jenayah telekomunikasi dialami mangsa warga emas sebanyak RM253.9 juta daripada jumlah keseluruhan RM873.9 juta.

Bagi tempoh tahun ini sehingga 19 Mei lalu pula, Ramli juga menambah bahawa jumlah kerugian oleh mangsa warga emas akibat taktik penipuan sama, mencecah RM36.1 juta daripada jumlah keseluruhan RM 146.1juta.

Sementara itu, Ramli memberitahu, polis menumpaskan sindiket love scam dan perjudian dalam talian dengan mensasarkan warga Amerika Syarikat dengan penahanan 12 individu berusia antara 18 hingga 43 tahun, termasuk seorang wanita tempatan yang disyaki menjadi ejen sindiket itu, dalam serbuan di sekitar ibu negara pada 16 Mei lalu.

Katanya, polis percaya mereka menyewa kediaman di ibu kota dan menjadikannya sebagai pusat operasi Utama kegiatan jenayah itu hampir dua bulan lalu.

“Siasatan awal kami mendapati sindiket itu menggunakan modus operandi dengan mencipta akaun media sosial palsu melalui Facebook serta Instagram dan seterusnya berkenalan dengan mangsa dalam kalangan rakyat Amerika Syarikat untuk memperdaya mereka,” katanya.

Tambah beliau, sindiket itu kemudian akan menawarkan kepada mangsa pautan judi atas talian yang seterusnya menyaksikan mereka akan kehilangan kesemua wang yang dipertaruhkan dalam perjudian itu.

“Kesemua individu yang ditahan sebenarnya berperanan sebagai ejen pusat panggilan an dibayar gaji sebanyak RM2,500 sebulan serta empat peratus komisen daripada jumlah kerugian mangsa mereka oleh sindiket itu,” ujarnya sambil menambah kes disiasatĀ  di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam perkembangan lain, Ramli menafikan dakwaan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) bahawa polisĀ gagal membuat siasatan terhadap laporan polis berkaitan urusan jual beli dan pindah milik saham syarikat melibatkan kerugian RM3.5 juta.

Beliau berkata, Setiausaha Agung MHO, Datuk Seri Hishammuddin Hashim menerusi kenyataannya mendakwa bahawa siasatan kes tersebut diklasifikasikan NFA (No Further Action) sedangkan terdapat bukti berlakunya penipuan dalam kes tersebut.

Menurut Ramli, hasil siasatan mendapati pengadu telah menerima kira-kira 45 peratus daripada nilai keseluruhan pembelian saham yang dipersetujui.

“Dalam perjanjian yang ditandatangani pengadu juga jelas menyatakan klausa bahawa pengadu mempunyai hak untuk memfailkan saman sivil terhadap pembeli sekiranya wang pembelian saham tersebut gagal dilunaskan dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Ramli berkata, kes berkenaan telah dirujuk kepada Pengarah
Pendakwaan pada 30 Januari lalu yang kemudian bersetuju kes itu menjurus kepada kesalahan sivil yang mana ia diklasifikasikan sebagai NFA. – MalaysiaGazette