Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 di Kuching, Sarawak hari ini.

KUCHING – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada Tabung Kasih@HAWANA pada tahun depan, jumlah yang sama pada tahun ini.

Pengumuman itu dibuat pada Majlis Kemuncak Sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 di sini hari ini.

“Tahun lepas saya umum untuk Tabung Kasih@Hawana RM1 juta, jadi saya akan terus dengan peruntukan RM1 juta untuk Tabung Kasih@Hawana,” katanya ketika Majlis Kemuncak Hawana 2024 hari ini.

Sambutan HAWANA pada tahun ini bertemakan ‘Etika Teras Kewartawanan Mapan’.

Majlis ini turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Tabung ini diperkenalkan tahun lepas bertujuan membantu wartawan veteran dan pengamal media yang berdepan masalah kesihatan dan kesempitan hidup.

Terdahulu dalam ucapan, Fahmi berkata, setakat ini, 102 orang telah dapat dijejaki dan dibantu menerusi tabung tersebut.

“Justeru, usaha ini akan kita teruskan untuk memastikan kebajikan pengamal media terbela,” ujarnya,

Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi Pusat Kecemerlangan Bernama untuk kemahiran Kecerdasan Buatan (AI) kepada pengamal-pengamal media di negara ini. – MalaysiaGazette