KUALA LUMPUR – Harga eksport Malaysia pada April 2024 menurun 0.4 peratus daripada 149.8 mata pada bulan sebelumnya kepada 149.2 mata.

Namun, harga import bertambah 0.6 peratus daripada 130.0 mata kepada 130.9 mata.

Sementara itu, terma perdagangan Malaysia merosot 1.0 peratus bulan ke bulan kepada 114.0 mata.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks nilai seunit eksport turun 0.4 peratus pada April 2024 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh penurunan indeks minyak galian (-2.8%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-0.5%) dan bahan kimia (-0.1%).

Begitu juga, indeks volum eksport merosot 10.4 peratus selaras dengan kemerosotan indeks minyak galian (-16.2%), makanan (-13.7%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-12.3%).

Indeks volum eksport pelarasan bermusim turut menguncup 7.2 peratus daripada 152.8 mata kepada 141.8 mata.

Merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit dan indeks volum masing-masing menokok 5.1 peratus dan 3.7 peratus.

Indeks nilai seunit import naik 0.6 peratus pada April 2024, disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (+1.1%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+0.7%) dan pelbagai barang keluaran kilang (+0.5%).

Sementara itu, indeks volum import jatuh 8.2 peratus pada April 2024 berbanding Mac 2024, disumbangkan oleh kejatuhan dalam indeks minyak galian (-31.7%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-6.3%) dan makanan (-4.2%).

Indeks volum import pelarasan bermusim susut 4.9 peratus daripada 192.2 mata kepada 182.7 mata.

Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit dan indeks volum import masing-masing berkembang 2.1 peratus dan 13.2 peratus.

Di samping itu, terma perdagangan Malaysia merosot 1.0 peratus bulan ke bulan kepada 114.0 mata pada April 2024, didorong oleh kemerosotan indeks minyak galian (-3.8%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-1.2%) dan pelbagai barang keluaran
kilang (-0.1%).

Terma perdagangan Malaysia tahun ke tahun naik 3.0 peratus daripada 110.7 mata pada April tahun lalu. – MalaysiaGazette