Petugas unit vektor Jabatan Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan kerja-kerja penyemburan asap di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Menara City One untuk mencegah pembiakan nyamuk Aedas ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Jumlah kes demam denggi pada Minggu Epidemiologi ke-20 bermula 12 Mei hingga 18 Mei 2024 naik kepada 2,461 kes berbanding 2,338 kes pada minggu sebelumnya dengan dua kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-20 adalah sebanyak 59,681 kes berbanding 43,619 kes bagi tempoh sama tahun 2023.

Manakala terdapat 42 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 28 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2023.

Bilangan lokaliti hotspot pula sebanyak 59 lokaliti berbanding 60 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 44 lokaliti di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sarawak (4), Kedah (3), Perak (2), Pulau Pinang dan Negeri Sembilan (1).

Terdapat satu kes chikungunya direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-20 menjadikan jumlah kumulatif 25 kes.

Menurut Dr Muhammad Radzi, dengan musim cuti sekolah penggal pertama 2024 telah bermula, pihak sekolah serta kontraktor pembersihan yang dilantik disarankan untuk melakukan beberapa tindakan bagi mengawal dan menurunkan populasi nyamuk di sekolah. – MalaysiaGazette