Orang ramai di stesen kereta api di Seoul melihat rakaman satelit pengintip kedua di orbit selepas Korea Utara memaklumkan roket yang membawa satelit peninjau "Malligyong-1-1" meletup beberapa minit selepas pelancaran kerana masalah enjin. Foto AFP

SEOUL – Korea Selatan menyelar percubaan gagal Pyongyang untuk meletakkan satelit pengintip kedua di orbit sambil menyifatkan pelancaran yang gagal itu sebagai “tindakan provokatif” yang mengancam kestabilan serantau.

Pyongyang berkata, roket yang membawa satelit peninjau “Malligyong-1-1” meletup beberapa minit selepas dilancarkan kerana disyaki masalah enjin.

Korea Utara di Bawah rejim Kim Jong Un didakwa meletakkan satelit pengintip di orbit pada November lalu selepas dua percubaan gagal awal tahun itu.

Penyiar Jepun NHK pada hari Selasa menyiarkan rakaman dramatik yang menunjukkan  peluru berapi di langit malam yang kemudian meletup menjadi bola api.

Rakaman itu telah dirakam dari timur laut China semasa percubaan pelancaran.

Pejabat Keselamatan Negara Korea Selatan berkata, pelancaran itu “melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tanpa mengira keputusan dan tindakan provokatif.”

Korea Utara mendakwa satelit “Malligyong-1” yang diletakkan di orbit pada November berjaya berfungsi, walaupun agensi perisikan Seoul menafikan dakwaan itu.

Seoul mendakwa Jong-Un menerima bantuan teknikal Rusia untuk pelancaran yang berjaya itu sebagai balasan menghantar kontena senjata ke Moscow bagi kegunaan di Ukraine.

Agensi Yonhap melaporkan, hujung minggu ini sekumpulan jurutera Rusia telah memasuki Korea Utara untuk membantu pelancaran satelit.

Pentadbiran Teknologi Aeroangkasa Kebangsaan Korea Utara dalam satu kenyataan berkata, pelancaran Isnin gagal disebabkan “kebolehpercayaan operasi enjin oksigen dan minyak cecair yang baharu dibangunkan”.

Namun ia tidak akan menghalang Pyongyang daripada mencuba lagi, Hong Min, seorang penganalisis kanan di Institut Penyatuan Kebangsaan Korea di Seoul, memberitahu AFP.

“Kegagalan pelancaran satelit adalah persamaan yang dilalui oleh semua negara yang membangunkan teknologi angkasa yang telah didedahkan kepada umum secara terperinci dan tepat pada masanya,” katanya.

Dengan data yang diperoleh daripada pelancaran terbaru, “bantuan teknikal Moscow kepada Pyongyang akan dipercepatkan lagi untuk meningkatkan peluang kejayaan untuk percubaan seterusnya”. – Agensi