KUALA LUMPUR – Lebih empat kilogram (kg) syabu disembunyikan dalam bungkusan serbuk pencuci untuk diseludup keluar dari Tawau berjaya dirampas.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata cubaan seorang lelaki gagal apabila ditahan di Jeti Awam Lama, Jalan Pelabuhan kelmarin.

Ujarnya, lelaki berusia 25 tahun yang membawa empat guni dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika cuba menaiki bot di jeti berkenaan kira-kira jam 12.30 tengah hari sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan rapi, pihak polis menjumpai enam paket plastik yang mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 4.572kg dianggarkan bernilai RM274,320 diletakkan di dalam bungkusan sabun terbabit.

“Cubaan ini antara modus operandi terbaru digunakan sindiket penyeludupan dadah selepas beberapa siri percubaan dan pelbagai helah berbeza termasuk menggunakan tong drum, bungkusan teh Cina, bungkusan durian dan tin minuman berjaya ditumpaskan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Katanya, suspek yang juga seorang buruh ladang di daerah Kinabatangan itu dipercayai membawa dadah berkenaan menggunakan jalan darat sebelum menaiki bot untuk menyeludup dadah itu ke negara jiran.

Tambah beliau, hasil ujian air kencing suspek adalah negatif.

Suspek juga tidak memiliki rekod jenayah lampau.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 4 Jun depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.-MalaysiaGazette