Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Rancangan FELDA (AKRF) 2023 kepada pemenang ketika hadir ke Hari Peneroka FELDA di MAEPS Serdang. Foto MOHD ADZLAN 07 JULAI 2023.

HARI Peneroka Felda yang dianjurkan oleh Felda pada setiap tahun merupakan sambutan tahunan penting bertujuan untuk mengiktiraf dan pembangunan komuniti mereka dan pembangunan negara secara amnya. Lebih daripada sekadar pengiktirafan, sambutan ini juga merupakan acara yang cukup meriah dan bermakna sekaligus dapat menyatukan warga peneroka dari seluruh negara.

Bakal disambut pada 12 hingga 14 Julai di MAEPS, Serdang, acara ini agak berbeza daripada format setengah hari yang biasa dijalankan. Tahun ini, Hari Peneroka Felda 2024 menjadi titik perubahan penting dalam sejarah Felda. Berlangsung selama tiga hari dan tiga malam, sarat dengan pelbagai aktiviti yang dirancang dengan penuh teliti, sambutan tahun ini melambangkan aspirasi dan semangat sebuah komuniti yang kini sedang berada di ambang transformasi. Festival pada tahun ini lebih daripada sekadar sambutan biasa; ia adalah acara besar yang mempamerkan potensi, kekuatan, dan visi masa depan Felda.

Membetulkan persepsi
Tidak dapat dinafikan mengadakan acara berskala besar seperti ini tentu sahaja memakan kos yang sangat tinggi. Disebabkan ini terdapat persepsi dan salah faham bahawa Hari Peneroka Felda 2024 akan menjadi satu pembaziran kepada warga Felda. Persepsi ini harus diperbetulkan dan dijelaskan.

Sambutan Hari Peneroka Felda tahun ini sebahagiannya dibiayai melalui usaha pengumpulan dana yang telah berjaya mendapatkan penajaan daripada beberapa entiti korporat dan organisasi bukan berorientasikan keuntungan yang terkemuka, termasuklan Yayasan Al Bukhary, FGV, UMobile, dan Maybank, dan banyak lagi. Kesungguhan entiti-entiti ini untuk bersama-sama dengan Felda menunjukkan bahawa sektor lain juga mendukung inisiatif Felda dalam pembangunan warga Felda itu sendiri.

Selain itu, terdapat usaha dan cadangan daripada pihak Felda supaya sambutan Hari Peneroka Felda seharusnya menjadi salah satu sambutan kebangsaan kerana pentingnya Felda kepada pembangunan negara. Usaha ini kini disokong oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan. Terdapat beberapa kementerian telah pun bersetuju untuk membantu dan menyokong acara besar ini. Sokongan dari pelbagai sudut, inisiatif dan kolaborasi memudahkan persediaan Hari Peneroka Felda pada bulan Julai nanti.

Pada masa yang sama, Hari Peneroka Felda pada tahun ini juga mendapat keterlibatan daripada kumpulan usahawan yang tidak mahu melepaskan peluang untuk bersama-sama dengan Felda kerana melihat potensi yang besar dalam menyokong inisiatif Felda pada tahun ini. Secara telusnya, pendekatan berjimat-cermat serta pembiayaaan yang disusun secara kolaboratif dan diperhalusi dengan begitu baik memastikan sambutan Hari Peneroka Felda pada tahun ini merupakan satu usaha yang memberikan pulangan yang tinggi kepada warga Felda, mempromosikan kesejahteraan dan pembangunan warganya tanpa mengorbankan manfaat kewangan mereka.

Membuka peluang perniagaan yang luas
Melihat daripada sudut peluang perniagaan, Hari Peneroka Felda 2024 merupakan satu platform yang menyediakan peluang yang sangat luas untuk usahawan Felda berkembang dengan lebih besar. Wakil-wakil daripada tanah rancangan Felda yang telah menghadiri taklimat Hari Peneroka Felda yang berlangsung di MAEPS, Serdang baru-baru ini menyatakan mereka sangat teruja dengan potensi peluang untuk mengembangkan perniagaan mereke ke tahap yang lebih tinggi.

Sebanyak 172 gerai akan ditawarkan kepada usahawan-usahawan dikalangan warga peneroka, pihak kementerian dan juga pihak industri. Pada masa yang sama, kerjasama dengan pihak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi menganjurkan Pameran dan Jualan Usahawan Desa bermula 12 hingga 14 Julai 2024 telah pun diatur. Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Kraftangan Malaysia telah turut dijemput untuk menyertai aktiviti jualan dan pameran.

Pebagai acara menarik seperti Pertunjukan Fesyen Tenung Pahang, demonstrasi kraf, taklimat berkaitan keusahawanan, pertandingan dan persembahan akan turut diadakan sepanjang acara tiga hari itu. Inisiatif keusahawan ini bukan sahaja dapat mempromosikan bakat tempatan tetapi juga menyediakan rangkaian yang lebih luas yang dapat membawa peluang dan pelanggan baru kepada usahawan untuk mengembangkan perniagaan mereka. Mensasarkan bilangan pelawat seramai 500,000 orang dengan jangkaan nilai jualan melebihi RM25 juta, acara dinamik ini dapat mendorong peluang ekonomi yang lebih besar dan pendedahan yang lebih luas untuk usahawan Felda di negara ini.

Acara untuk semua
Selain daripada itu, Hari Peneroka Felda 2024 memastikan acara ini menjadi acara untuk semua. Daripada kanak-kanak hingga ke orang dewasa. Daripada pencinta musik hinggalah ke pencinta haiwan. Acara ini patut dihadiri seisi keluarga. Perancangan dibuat dengan begitu teliti sekali melalui pelbagai proses saringan bagi memastikan warga Felda khususnya dan rakyat Malaysia amnya mendapat manfaat yang tinggi daripada festival besar ini.

Hari Peneroka Felda 2024 menyediakan pameran teknologi, hartanah dan teknologi pertanian yang terbaharu. Tidak lupa juga daripada sudut kesihatan, kerohanian, sukan dan kelestarian alam sekitar. Pada masa yang sama, acara ini memastikan anak-anak muda dapat menambah pengetahuan melalui pelbagai program yang disediakan khusus untuk mereka.

Bagi yang menghargai kepelbagaian makanan, acara ini menyediakan festival makanan yang cukup meriah dimana akan ada 317 gerai makanan yang di bawa daripada tanah rancangan Felda dari seluruh negara. Ini memberi peluang untuk rakyat Malaysia menikmati pelbagai pilihan makanan dihasilkan oleh warga FELDA dan pada masa yang sama, memberi peluang kepada warga Felda untuk mempamerkan warisan budaya makanan mereka sendiri.

Persediaan yang teliti dengan memastikan keterlibatan yang menyeluruh ini adalah usaha Felda untuk memastikan bahawa setiap yang hadir pada Hari Peneroka Felda pada tahun ini bukan sahaja mendapat manfaat yang besar tetapi juga mendapat pengalaman baru yang berharga serta pulang dengan kenangan yang paling manis.

Perubahan pemikiran untuk masa depan
Apabila kita bercakap tentang masa depan, kita selalunya memikirkan cabaran yang datang bersamanya. Oleh kerana itu, sudah tiba masanya untuk kita berfikir dalam skop yang lebih besar kerana persoalannya sampai bila kita mahu terus di takuk lama?  Merupakan cetusan idea and inspirasi oleh Pengerusi Felda sendiri, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Hari Peneroka Felda 2024 lebih daripada sekadar sambutan; ia merupakan momen penting melambangkan transformasi dalam komuniti Felda. Sambutan besar-besaran ini merupakan satu usaha untuk menanam rasa bangga dalam kalangan warga Felda kerana Felda bukan sahaja menjadi asas kepada pembangunan negara ini di awal usia pembentukannya tetapi juga bakal terus meneraju kemajuan negara di masa hadapan.

Pada masa yang sama, Hari Peneroka Felda 2024 merupakan satu seruan untuk warga Felda supaya lebih berani dalam mencapai potensi mereka. Warga Felda merupakan warga unik yang penuh dengan bakat, kemahiran dan pengetahuan. Nilai-nilai yang ada pada warga Felda perlu diperketengahkan di platform yang lebih besar. Warga Felda juga tidak boleh ketinggalan untuk menerima pendekatan yang lebih inovatif dan berubah daripada kaedah tradisional dan cara lama.

Acara ini bukan sahaja platform untuk mempamerkan apa yang boleh ditawarkan oleh warga Felda tetapi acara ini merupakan sebuah pengisytiharan bersama bahawa kita kini bersedia untuk beradaptasi, berkembang dan berani menongkah arus dunia yang sentiasa berubah. Hari Peneroka Felda 2024 akan menjadi sebuah momen penting dalam lipatan sejarah negara bukan hanya kerana skalanya tetapi juga dalam potensinya untuk membentuk masa depan depan Felda. Usaha ini menunjukkan komitmen jelas Felda bahawa organisasi ini begitu komited bersama warganya dan bersedia untuk menghadapi masa depan dengan terus berinovasi, dilengkapi dengan sumber daya dan semangat bersama yang diperlukan untuk berjaya.

Kesimpulannya, Hari Peneroka Felda 2024 menjangkaui acara komuniti biasa. Acara tahun ini mengajak setiap warga Felda untuk melihat ke hadapan dan pada masa yang sama melihat potensi besar mereka sendiri. Hari Peneroka Felda 2024 bukan sekadar acara. Ia adalah batu loncatan ke masa depan yang penuh dengan peluang dan kejayaan, masa depan Feldarian yang boleh dibanggakan.

Nurul Ashiqin Shamsuri
Generasi ketiga Felda dan kini sedang mengikuti pengajian doktor falsafah dalam bidang ekonomi digital di Asia Pacific University.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast