Sebuah Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas semasa raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Kompleks Sukan TLDM Lumut. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 23 APRIL 2024.

PUTRAJAYA – Laporan akhir nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengorbankan 10 pegawai dan anggotanya di Lumut, Perak bulan lalu akan diterbitkan esok.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata,  Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telahpun melaporkan status terkini laporan penuh itu dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

“Beliau memaklumkan laporan telah siap dan akan diterbitkan esok…boleh nantikan pengumuman penuh hasil siasatan terhadap nahas helikopter yang berlaku di Lumut baru-baru ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Semalam, Mohamed Khaled berkata, laporan akhir mengenai insiden itu dijangka dikeluarkan selewat-lewatnya minggu depan.

Dalam tragedi 23 April lalu, 10 anggota dan pegawai TLDM terdiri tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM terkorban selepas bergesel dan terhempas ketika menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.

Terdahulu, Lembaga Siasatan dua helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut itu mendedahkan lima fakta dalam laporan awal yang dikeluarkan berhubung tragedi itu.

Antaranya, semua kru terbabit dalam insiden itu berada pada tahap kesihatan yang baik untuk mengendalikan pesawat dan tahap kelayakan penerbangan kru udara terbabit juga masih sah dan tidak tamat tempoh.

Kedua-dua helikopter itu juga disahkan dalam keadaan ‘airworthy‘ (selamat untuk terbang) pada hari kejadian, dengan pesawat HOM AW139 mempunyai kotak hitam, manakala pesawat Fennec yang dikeluarkan pada 2003 dan berusia 21 tahun tidak dilengkapi peralatan itu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast