KUALA LUMPUR – Lebih 1,000 penyu dibunuh dengan dagingnya dikeringkan ditemui di perairan Kudat, Sabah untuk diseludup ke pasaran luar negara.
Bagaimanapun, cubaan penyeludupan daging jenis spesis terancam itu berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam Op Pluto Timur/Op Tiris semalam.
Pengarah APMM Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, pasukannya melakukan rondaan mengesan sebuah bot sedang dalam keadaan mencurigakan pada jam 10.27 malam.
“Kemudian pasukan rondaan bergerak ke lokasi terbabit, namun keadaan kawasan yang cetek telah menyukarkan pihak kami untuk menghampiri bot terbabit untuk melakukan pemeriksaan.
“Suspek yang menyedari kehadiran penguat kuasa Maritim Malaysia bertindak melarikan diri dari kawasan tersebut dan meninggalkan guni yang diletakkan di tepi pantai berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, aset dari darat telah diatur gerak ke lokasi untuk membuat pemeriksaan kerana bot ronda tidak dapat menghampiri kawasan pantai.
“Hasil pemeriksaan kita menemui 51 guni berisi daging penyu kering dianggarkan seberat 765 kilogram dan daripada jumlah itu, dianggarkan lebih kurang 1,000 ekor penyu telah dibunuh oleh sindiket ini.
“Selain itu, 19 guni balat juga turut ditemui dan kesemua barang terbabit tidak sempat dipunggah oleh suspek. Barangan itu dipercayai cuba diseludup untuk pasaran ke negara luar,” jelasnya.
Ujarnya, nilai keseluruhan barang rampasan itu dianggarkan lebih RM500,000 dan semua barang rampasan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut.
Kes akan disiasat di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 (cubaan menyeludup daging haiwan spesies terancam)
Maurice mengingatkan komuniti maritim di Kudat supaya bertindak melaporkan sebarang kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette