Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan hadiah kepada johan qari pada Majlis Perasmian dan Penutup MTHQK Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/2024M. serta dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (kiri) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar (dua dari kanan)

KUANTAN – Benarlah usaha tidak pernah mengkhianati hasil.

Berkat istiqamah dalam menikmati keindahan mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran, penyertaan tilawah kali keenam pada peringkat kebangsaan membuahkan hasil kepada guru Quran berusia 32 tahun.

Peserta dari Negeri Sembilan, Mohamad Husaini Mahmur, merangkul johan setelah sembilan tahun berusaha tanpa  jemu dalam meningkatkan seni bacaan taranumnya sehingga berjaya menambat hati jemaah hakim pada Majlis Tilawah Hafazan Al-Quran peringkat kebangsaan yang melabuhkan tirai pada malam tadi.

“Syukur dapat menang tilawah al-Quran, tidak sangka, lega Allah permudahkan urusan, selama sembilan tahun saya mencuba dalam tilawah ini, Alhamdullilah rezeki, Allah makbulkan doa saya seterusnya  mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa nanti.

“Terima kasih kepada semua pihak yang menyokong  saya, keluarga, mak ayah, isteri,  yang saya khasnya juga kepada Jabatan Agama Hal Ehwal Negeri Sembilan seterusnya akademi taranum USIM yang banyak membantu  semua urus setia terlibat.

“Alhamdullilah rezeki, Allah makbulkan doa saya seterusnya mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa nanti. Saya akan cuba yang terbaik nanti,” katanya.

Anak sulung dari lima beradik ini berkata, dia mengambil semangat daripada gurunya dan mula berani menyertai tilawah sejak tahun 2015 dan sentiasa berusaha memperbaiki mutu bacaannya.

Graduan Ijazah Bahasa Arab dan Komunikasi ini menjadikan guru-guru taranum sebagai insipirasi kerana mereka tidak pernah jemu mengajarnya dan memberikan sokongan agar terus melangkah sejauh ini.

Berkongsikan pengalaman, Husaini berkata, dia pernah memenangi tempat ketiga acara itu pada tahun 2016, 2020, dan 2023 ketika penyertaannya di peringkat kebangsaan.

”Contohnya guru saya yang terawal adalah Ustaz  Razali Shamsuddin, Amirul Rahman. Mereka ini tidak jemu hendak tunjuk ajar saya untuk menjadi pembaca quran yang lebih baik bukan sahaja baca quran tetapi insya-Allah mengamalkannya dalam kehidupan seharian kita,” katanya.

Mohamad Husaini yang memperoleh 89 markah mengakui cabaran tahun ini adalah bersaing dengan anak muda yang datang dengan pelbagai  keunikan suara, sekali gus menjadikan pertandingan lebih sengit.

“Kita semua maklum, tilawah ini ada pelbagai aspek bukan hanya nilai aspek suara tetapi juga tajwid,  taranum dan lain-lain.

”Saya cuba mengisi setiap kelompongan yang ada pada aspek itu supaya  tidak berlaku dalam bacaan, alhamdulillah ia berhasil,” katanya.

Muhammad Husaini membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 dan wang tunai RM10,000 bagi menunaikan ibadah haji, piala, cenderamata serta sijil pada Majlis Tilawah Hafazan Al-Quran Kebangsaan 2024 yang berlangsung pada malam tadi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast