Seorang mualaf menerima sumbangan motosikal terpakai yang kumpul melalui dana yang dikutip oleh Perkim Datuk Keramat. Gambar: Perkim Datuk Keramat

KUALA LUMPUR – Demi memastikan nasib dan kebajikan golongan mualaf terbela, Perkim Datuk Keramat melalui sumbangan orang ramai berjaya mengumpalkan dana bagi menginfaqkan kereta dan motosikal terpakai.

Pengerusinya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, program itu digerakan untuk membeli kenderaan bagi memudahkan urusan harian kumpulan mualaf yang bernaung dibawahnya menghadiri kelas bimbingan yang diadakan.

“Ia merupakan sumbangan orang ramai melalui kempen yang kami lakukan sebelum ini. Alhamdulillah hasil dari sumbangan itu kami berjaya mengumpulkan sejumlah wang untuk membeli sebuah kereta dan 2 buah motor terpakai untuk di infaqkan kepada mereka yang memerlukan.

“Kenderaan tersebut akan digunakan untuk membolehkan mereka menghadiri kelas-kelas bimbingan agama yang diadakan serta memudahkan mereka menguruskan kehidupan seharian,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Perkim Datuk Keramat menyerahkan kenderaan tersebut kepada Pengerusi Persatuan Bantu Insan, Bahaman Abas dalam satu majlis yang diadakan di sini, baru-baru ini.

Selain Komposer dan Penyanyi Daqmi, majlis yang diadakan itu turut dihadiri ahli kariah Masjid Jamek Sungai Plong dan penduduk kampung.

Sementara itu Bahaman ketika menyampaikan ucapan pada majlis tetrsebut berharap masyarakat di negara ini akan terus prihatin dan cakna dengan aktiviti dan program dakwah yang dilaksanakan.

“Sebagai pertubuhan bukan kerajaan yang bukan berasaskan kepada keuntungan kami amat mengharapkan penglibatan dan sumbangan orang ramai dalam memastikan program dan aktiviti dakwah dapat terus diadakan.

“Melalui program kebajikan yang dianjurkan seperti ini saya yakin nilai dan syiar Islam itu akan dapat terus dikembangkan khususnya di kawasan ceruk dan pendalaman kampung sekaligus menarik minat lebih ramai individu untuk memahami konsep rahmatan lil alamin,” ujarnya. – MalaysiaGazette