Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor gagal memasukkan Kerajaan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai pihak ketiga dalam saman syarikat barangan kemas Lebanon, Global Royalty Trading SAL terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Ong Chee Kwan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak-pihak dimaksudkan dalam permohonan Rosmah itu tidak bertanggungjawab untuk membayar pampasan untuk sebarang kerugian.

Kata Chee Kwan, Kerajaan Malaysia dan polis bukan entiti yang melakukan kesalahan sivil atau mencederakan pihak lain.

Difahamkan Rosmah boleh memfailkan saman baharu untuk sebarang kerugian yang dihadapi beliau atas tindakan Kerajaan Malaysia dan PDRM terhadapnya secara berasingan dan bukan memasukkan nama mereka sebagai pihak ketiga.

Hakim kemudian menetapkan 2 hingga 6 Jun tahun depan bagi perbicaraan.

Tahun lalu, syarikat emas Global Royalty Trading SAL dari Lubnan tidak berjaya dalam keputusan yang diputusan tanpa bicara terhadap Rosmah, defenden tunggal dalam kes ini.

Ketika ini, syarikat tersebut sedang menyaman Rosmah bagi mendapatkan balik 43 barang kemas bernilai RM67.4 juta yang didakwa diserahkan oleh ejen syarikat itu kepada Rosmah.

Sebaliknya kes itu akan melalui perbicaraan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Global Royalty mendakwa Rosmah berbohong dengan menyatakan 44 unit barangan kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan kepadanya telah dirampas oleh Kerajaan Malaysia untuk kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Dakwa mereka, ini kerana hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan dan kawalan pihak polis, dan baki 43 barang kemas milik plaintif tidak berada dalam simpanan pihak berkuasa itu. -MalaysiaGazette