Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang warga emas kerugian RM130,000 apabila wang dalam akaunnya dipindahkan ke tiga akaun persendirian tanpa disedarinya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Supritendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kuantan pada 24 Mei lalu.

Menerusi panggilan itu, kakitangan ‘TNB’ mendakwa mangsa terlibat dalam kes curi elektrik.

Namun mangsa menafikannya kerana tidak mempunyai rumah di kawasan Kuantan.

“Panggilan itu kemudian disambungkan kepada individu yang diperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Kontinjen Pahang dan menyatakan bahawa maklumat peribadi mangsa telah terlibat dalam kes penggubahan wang haram.

“Suspek meminta mangsa menyerahkan maklumat perbankan akaun Alliance Bank milik mangsa bagi siasatan. Pada 26 Mei 2024, mangsa telah membuat semakan dengan pihak bank dan mendapati terdapat pindahan wang berjumlah RM130,000 secara berperingkat ke tiga akaun persendirian tanpa mangsa sedari,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Shahrulanuar meminta orang ramai agar lebih berhati-hati apabila menerima panggilan dari nombor yang tidak dikenali dan membuat semakan dengan pihak berkuasa berkaitan terlebih dahulu. – MalaysiaGazette